KUCHING: Persidangan Asia Pasifik Serantau (APRC) 2028 bakal menjadi platform penting dalam memperkukuh usaha pencegahan dan kawalan Tuberkulosis (Tibi) di Sarawak, khususnya dalam menangani cabaran penularan penyakit itu di kawasan pedalaman.
Dijadual berlangsung dari 23 hingga 26 Mac 2028 di Kuching, persidangan anjuran International Union Against Tuberculosis and Lung Disease itu merupakan kali kedua diadakan di Malaysia selepas Kuala Lumpur pada 2007 dan pertama kali dianjurkan di Borneo bersempena sambutan Hari Tuberkulosis Sedunia.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian berkata, penganjuran persidangan tersebut bukan sekadar menghimpunkan pakar perubatan, malah membuka ruang kerjasama strategik untuk mempertingkat usaha menangani Tibi.
“Tuberkulosis sudah lama wujud dan malangnya masih menjadi cabaran di Sarawak, terutama di kawasan pedalaman. Melalui persidangan seperti ini, kita dapat mengumpulkan kepakaran dan pengalaman untuk mencari pendekatan baharu yang lebih berkesan,” katanya dalam sidang media di sini pada Rabu.
Beliau menambah, walaupun kekangan kewangan menjadi antara cabaran dalam usaha menghapuskan Tibi sepenuhnya, kerajaan negeri dan Persekutuan tetap komited menyediakan pelan hala tuju ke arah penghapusan penyakit tersebut.
Tambahnya, sokongan daripada pelbagai pihak termasuk penaja turut membantu memperkukuh pelaksanaan inisiatif berkaitan kesihatan awam di Sarawak.
Selain impak kesihatan, APRC 2028 dijangka menarik lebih 1,000 delegasi dari seluruh rantau Asia Pasifik dan menjana impak ekonomi dianggarkan sebanyak RM8.2 juta.
Hadir sama, Pengerusi APRC 2028, Dato Dr Abdul Razak Abdul Muttalif dan President Anti-Tuberculosis Association Sarawak, Louise Blaja.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Foto: Ibanez Jeffery Guang