Kejohanan Merentas Desa Pendidikan Khas Sarawak 2026 Catat Peningkatan Penyertaan
BELAWAI: Kejohanan Merentas Desa Pendidikan Khas (KMDPK) MSS Kali Ke-5 Peringkat Negeri Sarawak 2026 melabuhkan tirainya dengan jayanya, menyaksikan peningkatan penyertaan murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) dari seluruh negeri.
Majlis penangguhan rasmi kejohanan itu telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh di Dewan Terbuka SMK Belawai, pada Rabu.
Dalam ucapannya, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, khususnya jawatankuasa pengelola daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Daro dan Sarikei atas komitmen tinggi dalam menjayakan penganjuran kejohanan tersebut.
“Penganjuran kali ini menunjukkan peningkatan dari segi kualiti dan penyertaan, sekali gus mencerminkan kesungguhan dalam memperkasa pembangunan sukan pendidikan khas di Sarawak,” katanya.
Menurut beliau, peningkatan jumlah penyertaan bukan sahaja menggambarkan perkembangan positif dalam bidang sukan pendidikan khas, malah mencerminkan tahap kesedaran dan keyakinan ibu bapa terhadap potensi anak-anak istimewa yang semakin meningkat.
Sebanyak 25 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) mengambil bahagian dalam kejohanan kali ini, melibatkan seramai 329 atlet MBPK berbanding 284 peserta pada edisi lalu.
Para peserta bersaing dalam enam kategori umur melibatkan atlet berusia antara 12 hingga 19 tahun, dengan semangat juang tinggi yang menjadi inspirasi kepada semua yang hadir.
Seramai 18 peserta terbaik akan dipilih untuk mewakili Sarawak ke Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) yang dijadual berlangsung di Pasir Gudang, Johor pada Mei depan.
Datuk Len Talif turut mengingatkan atlet yang terpilih agar memikul tanggungjawab tersebut dengan penuh integriti dan semangat juang tinggi, selaras dengan slogan negeri “Agi Idup Agi Ngelaban”.
Beliau dalam masa sama menyeru semua peserta agar terus berusaha tanpa mengenal putus asa, sambil menegaskan bahawa keberanian menyertai kejohanan tersebut merupakan satu pencapaian yang membanggakan.
“Setiap langkah di trek adalah lambang ketabahan dan kekuatan diri. Teruskan berusaha kerana masa depan masih terbentang luas,” ujarnya.
Kejohanan anjuran Pejabat Pendidikan Bahagian Mukah itu bukan sahaja menjadi platform mencungkil bakat sukan dalam kalangan MBPK, malah turut memperkukuh semangat inklusiviti dan perpaduan dalam komuniti pendidikan di Sarawak.
Turut hadir Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor Pendidikan Khas Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Ahmat Daud Lugom, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Unit Pendidikan Swasta, Rody Bujang, Pengetua SMK Belawai, Mohammad Latif Rapili serta Pegawai Daerah Tanjong Manis, Ismail Kasah.- EDISI UKAS