Bengkel Kesihatan Mental Perkasa Amalan Harian, Tingkat Kesejahteraan Belia di Bintulu
BINTULU: Usaha memperkasa kesedaran kesihatan mental dalam kalangan belia dan golongan profesional muda terus dipergiat menerusi pendekatan praktikal dan berorientasikan tindakan, selari dengan keperluan semasa yang menuntut keseimbangan emosi dalam kehidupan seharian.
Sehubungan itu, bengkel RAKAN Sarawak Destiny Movers Bintulu 2026: Unmask the Mind to Thrive and Flourish yang berlangsung pada 18 April lalu di Dewan Premier, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Bintulu menjadi platform penting dalam membudayakan amalan kesihatan mental sebagai rutin harian.
Menurut kenyataan pada Rabu, program yang menghimpunkan seramai 91 peserta terdiri daripada pelajar sekolah menengah, institusi latihan teknikal dan institusi pengajian tinggi awam itu menekankan pendekatan holistik merangkumi kesedaran, pemahaman serta aplikasi kemahiran dalam situasi kehidupan sebenar.
Ia dimulakan dengan ceramah bertajuk Kemurungan dan Stigma oleh Pakar Psikiatri Hospital Bintulu, Dr Muhammad Adeeb yang mengetengahkan kepentingan memahami isu kesihatan mental secara tepat serta menghapuskan stigma dalam masyarakat.
Peserta seterusnya didedahkan kepada pendekatan interaktif berasaskan naratif filem Azimat terbitan Faradale Media-M Sdn Bhd, yang dijadikan kerangka reflektif bagi membantu peserta membina daya tahan dalaman serta mengurus emosi secara lebih konstruktif.
Tiga teras utama diketengahkan dalam bengkel ini, iaitu Spektrum Manusia, Bahasa Itu Penting dan Kecergasan Mental, dengan penekanan kepada kemahiran praktikal seperti teknik pernafasan kotak dan latihan ‘grounding’ bagi mengawal tekanan serta meningkatkan kestabilan emosi.
Selain itu, peserta turut mengikuti sesi interaktif seperti Characters Within Us and Quiet Cracking, HeART Space dan Flip the Script yang memberi fokus kepada pemahaman spektrum emosi, ekspresi berasaskan seni serta penggunaan bahasa yang empati dalam komunikasi harian.
Pada sebelah petang, sesi Exploring The Forging Station dan chair yoga melengkapkan latihan dengan pendekatan kesejahteraan fizikal dan mental secara seimbang, sebelum program diakhiri dengan segmen Building a Safety Net yang menekankan kepentingan sokongan sosial serta kesedaran terhadap isu kemurungan dan pencegahan bunuh diri.
Bengkel ini turut disokong oleh Lembaga Pelabuhan Bintulu (LPB) dan BIG Pharmacy (Bintulu) sebagai sebahagian daripada komitmen tanggungjawab sosial korporat dalam memperkasa kesejahteraan komuniti setempat.
Pendekatan program yang berasaskan bukti turut diperkukuh melalui kerjasama strategik bersama Yayasan Dee Hati, Teduh Jiwa Counselling and Consultancy serta MENTARI Bintulu, dengan modul berpandukan psikologi positif dan prinsip Terapi Tingkah Laku Kognitif (CBT).
Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan RAKAN Sarawak dan Faradale Media-M Sdn Bhd dalam membangunkan modal insan yang seimbang, berdaya tahan dan berkeupayaan mengurus cabaran emosi secara berkesan.
Program seumpama ini dilihat berperanan sebagai wadah penting dalam memperkukuh kesejahteraan mental masyarakat, sekali gus menyokong pembangunan komuniti yang lebih sihat dan mampan di Sarawak.-EDISI UKAS