SIBURAN: Projek menaik taraf Dewan Serbaguna Kampung Batu Gong Baru bernilai RM200,000 di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) DUN Mambong berjaya disiapkan sepenuhnya lebih awal daripada jadual ditetapkan.
Majlis penyerahan projek siap telah disempurnakan oleh Majlis Daerah Siburan selaku agensi pelaksana kepada Ketua Kaum Kampung Batu Gong Baru, Tuai Rumah Limping pada Rabu.
Majlis turut disaksikan oleh Pegawai Tadbir Khas kepada Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara & Jalan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Keron Mapus.
Projek ini telah bermula pada bulan Februari 2026 dan kini siap sepenuhnya dengan kualiti kerja yang memuaskan dengan penyiapan awal projek ini mencerminkan komitmen tinggi pihak pelaksana dalam memastikan kemudahan awam dapat dimanfaatkan oleh penduduk tanpa kelewatan.
Dewan serbaguna yang telah dinaik taraf ini dijangka memberi manfaat besar kepada penduduk Kampung Batu Gong Baru sebagai pusat aktiviti komuniti, termasuk penganjuran program kemasyarakatan, sosial dan pembangunan setempat.
Usaha berterusan melalui Projek RTP ini jelas membuktikan komitmen kerajaan dalam meningkatkan prasarana luar bandar demi kesejahteraan rakyat, khususnya di kawasan Mambong. -EDISI UKAS