Akaun Palsu Guna Identiti ADUN Tanjong Batu, Orang Ramai Diingatkan Lebih Waspada
BINTULU: Isu penyamaran identiti di media sosial terus membimbangkan apabila satu akaun Facebook palsu dikesan menggunakan nama dan gambar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming, sekali gus mencetus risiko penipuan serta kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Dalam kenyataan pada Rabu, beliau mendedahkan akaun tidak sahih itu dikenal pasti oleh pasukan pusat khidmatnya dan menyifatkan tindakan berkenaan sebagai tidak bertanggungjawab serta boleh menjejaskan reputasi selain membuka ruang kepada penyalahgunaan maklumat.
“Pasukan saya telah mengesan satu lagi akaun palsu yang menggunakan gambar saya tanpa kebenaran. Perkara ini amat dikesali dan tidak sepatutnya berlaku,” katanya.
Menurutnya, penyamaran sedemikian bukan sahaja mencemarkan imej individu, malah berpotensi disalah guna untuk tujuan penipuan serta penyebaran maklumat palsu yang boleh mengelirukan orang ramai.
Sehubungan itu, beliau menggesa masyarakat agar sentiasa berwaspada, tidak mudah mempercayai mana-mana akaun yang meragukan serta membuat semakan terhadap kesahihan sesuatu maklumat sebelum bertindak.
“Saya ingin mengingatkan semua agar lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa laporan polis telah dibuat berhubung kes berkenaan dan perkara tersebut kini diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.
Isu penyamaran identiti melibatkan tokoh awam dilihat semakin serius, sekali gus menuntut kerjasama semua pihak bagi membendung jenayah digital serta melindungi masyarakat daripada menjadi mangsa penipuan dalam talian.-EDISI UKAS