Pakan Sasar Jadi Daerah Contoh Melalui Pelaksanaan Pembangunan Berkesan
PAKAN: Hasrat untuk menjadikan Pakan sebagai daerah contoh terus diperkukuh menerusi penekanan terhadap pelaksanaan pembangunan yang cekap dan berkesan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom berkata, fokus utama bukan hanya merancang, sebaliknya memastikan setiap inisiatif pembangunan benar-benar dilaksanakan demi manfaat rakyat.
Walaupun bukan daerah terbesar, menurutnya, Pakan tetap mempunyai potensi untuk terus maju sekiranya semua pihak berganding bahu dan bergerak seiring.
“Kita tidak hanya merancang, tetapi kita mahu melaksanakan. Kita terus bergerak ke hadapan demi masa depan rakyat yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Program Pemantapan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Pakan di Dewan Masyarakat Pakan pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa kejayaan tersebut memerlukan komitmen berterusan daripada masyarakat.
Menurutnya, perpaduan dan solidariti masyarakat menjadi faktor penting dalam memastikan segala perancangan pembangunan kerajaan dapat dilaksanakan dengan jayanya di daerah ini.
Beliau berkata, rakyat perlu memahami bahawa mereka bukan sekadar penerima manfaat, tetapi juga perlu memainkan peranan aktif dalam pembangunan komuniti.
“Tanggungjawab utama rakyat ialah menjaga perpaduan dan keharmonian masyarakat supaya seiring dengan apa yang telah dirancang oleh kerajaan.
“Jika komuniti tidak memahami dasar kerajaan atau tidak merasakan dasar itu bersifat inklusif, mereka tidak akan dapat mengambil bahagian secara menyeluruh,” ujarnya.-EDISI UKAS