![]() |
AJAX Error Sorry, failed to load required information. Please contact your system administrator. |
|
| Close | ||
Kebelakangan ini ada pihak tertenu cuba memperlekehkan usaha pemimpin Kerajaan Sarawak. Pihak tersebut mempamerkan gambar yang ditunjukkan jelas sebagai bahan kempen berbentuk provokatif yang cuba membina persepsi bahawa kerajaan Sarawak tidak mampu atau tidak melaksanakan projek pembangunan untuk rakyat. Tajuk seperti “Can We Afford Abang Jo’s Mega Project?” sengaja dibina untuk menimbulkan keraguan, seolah-olah pembangunan yang dirancang hanyalah angan-angan atau pembaziran. Namun, jika kita melihat secara lebih rasional dan berfakta, naratif ini sebenarnya terlalu simplistik dan tidak mencerminkan realiti sebenar pembangunan di Sarawak.
Pertama sekali, sebagai rakyat kita perlu memahami bahawa projek-projek besar yang disebut seperti lapangan terbang baharu Kuching, pelabuhan laut dalam, dan pembangunan infrastruktur lain bukanlah sekadar projek mega yang dibina tanpa arah atau untuk memenuhi impian peribadi seorang pemimpin. Sebaliknya, ia adalah sebahagian daripada perancangan jangka panjang untuk memacu ekonomi negeri. Dalam konteks Sarawak yang luas dan mempunyai cabaran geografi unik termasuk kawasan pedalaman serta jaringan logistik yang kompleks. Oleh itu pelaburan dalam infrastruktur adalah keperluan, bukan pilihan. Tanpa kemudahan ini, kos barangan akan terus tinggi dan peluang ekonomi sukar berkembang. Maka projek memperkasakan infrastruktur seperti jambatan dan rangkaian jalan raya adalah menjadi keutamaan.
Kedua, persoalan adakah kita mampu melaksanakan projek tersebut ? Persoalan ini perlu dijawab dengan fakta kewangan Sarawak. Di bawah pimpinan Kerajaan Sarawak yang diterajui oleh Yang Amat Berhormat Premier kita, Sarawak muncul antara negeri yang mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh di Malaysia, dengan rizab yang besar hasil pengurusan sumber asli dan dasar ekonomi yang berhati-hati. Ini memberi keupayaan kepada kerajaan Sarawak untuk merancang projek pembangunan tanpa terlalu bergantung kepada hutang yang membebankan rakyat. Malah bagi melaksanakan beberapa projek Persekutuan di Sarawak, kerajaan Sarawak sudi memberikan pinjaman dan membiayai dahulu menggunakan sumber Sarawak. Maka, naratif bahawa Sarawak tidak mampu adalah tidak tepat dan cenderung mengelirukan masyarakat.
Selain itu, kita juga perlu melihat rekod pencapaian sebenar kerajaan Sarawak. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, pelbagai projek telah dilaksanakan termasuk pembinaan jalan raya luar bandar, bekalan elektrik dan air ke kawasan pedalaman, serta pembangunan sektor pendidikan dan digital. Inisiatif seperti pembinaan jalan pesisir, jambatan utama, dan usaha memperluas liputan internet membuktikan bahawa fokus kerajaan bukan hanya pada projek mega, tetapi juga kemudahan asas rakyat. Ini bercanggah dengan gambaran dalam poster tersebut yang seolah-olah tiada usaha dilakukan.
Apa yang lebih penting untuk masyarakat ketahui ialah setiap projek mega sebenarnya memberi kesan limpahan kepada rakyat. Sebagai contoh, pembinaan pelabuhan laut dalam di Tanjung Embang bukan sahaja memudahkan perdagangan antarabangsa, tetapi juga membuka peluang pekerjaan, menarik pelaburan asing, dan merangsang industri tempatan. Begitu juga dengan cadangan lapangan terbang baharu yang berpotensi menjadikan Sarawak sebagai hab penerbangan serantau. Semua ini akhirnya memberi manfaat kepada rakyat dalam bentuk peluang ekonomi dan peningkatan taraf hidup.
Poster tersebut juga menggunakan elemen sindiran seperti ART dan Sarawak White House merujuk kepada Wisma Satria Pertiwi bagi menggambarkan projek sebagai tidak realistik. Ini adalah teknik komunikasi politik yang biasa digunakan untuk mempengaruhi emosi, bukan berdasarkan analisis mendalam. Sebagai rakyat yang berfikiran kritis, kita perlu membezakan antara persepsi yang dibina dengan realiti yang berlaku.
Hakikatnya, pembangunan sesebuah negeri tidak boleh dinilai hanya berdasarkan satu atau dua projek, apatah lagi melalui bahan kempen yang bersifat berat sebelah. Sarawak sedang bergerak ke arah menjadi negeri maju dan makmur menjelang 2030, dan ini memerlukan perancangan strategik serta pelaburan besar dalam infrastruktur. Tanpa langkah berani ini, Sarawak akan terus ketinggalan berbanding wilayah lain.
Kesimpulannya, dakwaan bahawa kerajaan Sarawak tidak melaksanakan projek untuk kemudahan rakyat adalah tidak berasas. Sebaliknya, apa yang berlaku adalah usaha berterusan untuk menyeimbangkan pembangunan jangka pendek dan jangka panjang. Rakyat wajar menilai berdasarkan fakta dan pencapaian sebenar, bukan terpengaruh dengan naratif yang dibina untuk tujuan tertentu. Melihat dari momentum sokongan rakyat Sarawak ternyata kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan Kerajaan Sarawak begitu kukuh dan sukar digugat.