Miri Kitchen Tonjol Keunikan Masakan Tradisional Sarawak
MIRI: Program Miri Kitchen yang berlangsung sempena Sarawakku Sayang (SKS) 2026 di Stadium Miri menjadi platform mengetengahkan pelbagai hidangan tradisional Sarawak, sekali gus menarik kehadiran pengunjung dari pelbagai lapisan masyarakat.
Penganjuran bermula pada Jumaat menampilkan kepelbagaian menu unik yang mencerminkan warisan budaya negeri, antaranya kuih serabai, cucur bubuk, ikan baong masak kunyit serta nubak layak iaitu nasi yang dibungkus menggunakan daun.
Keunikan sajian seperti cucur bubuk bukan sahaja sebagai juadah tradisional, malah mempunyai nilai identiti tersendiri kepada masyarakat tempatan yang sinonim dengan aktiviti menangkap bubuk untuk dijadikan belacan.
Seorang peserta, Mirza Hasan berkata, penyertaannya memberi peluang memperkenalkan kuih serabai kepada masyarakat, khususnya generasi muda yang semakin kurang mengenali makanan tradisional.
Menurutnya, kuih berkenaan mempunyai keistimewaan tersendiri dari segi penyediaan dan penggunaan bahan seperti kelapa muda yang kini sukar diperoleh.
Dalam pada itu, beliau menghargai inisiatif kerajaan negeri menganjurkan program seumpama ini sebagai usaha mempromosikan makanan tradisional serta membantu usahawan kecil memperluas pasaran.
Sementara itu, pengusaha cucur bubuk, Mohamad Bakhtiar Rohani menyifatkan Miri Kitchen sebagai platform terbaik untuk memperkenalkan juadah yang jarang ditemui di kawasan lain, selain membuka ruang interaksi bersama pengunjung.
Beliau berkata, program berkenaan turut memberi peluang kepada peserta berkongsi pengetahuan serta pengalaman mengenai kepelbagaian makanan tradisional Sarawak.
Bagi Demaris Abai dari Long Semadoh, Lawas, penyertaannya dalam program itu menjadi medan memperkenalkan hidangan tradisional kaum Lun Bawang seperti nubak layak kepada masyarakat luar.
Menurutnya, penglibatan dalam program berkenaan memberi rasa bangga kerana dapat mengetengahkan warisan makanan etnik kepada khalayak lebih luas.
Turut mendapat perhatian ialah gerai ikan baong masak kunyit yang menggunakan bahan segar serta resipi tradisional dari Marudi.
Pemiliknya, Zubir Alwi berkata, hidangan tersebut mengekalkan keaslian masakan orang terdahulu dengan penggunaan rempah ratus khas dari kawasan berkenaan.
Beliau turut mengadakan demonstrasi masakan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta dif kenamaan yang singgah di gerainya.
Beliau juga berharap lebih ramai penyertaan, khususnya dari kawasan Marudi, dapat diketengahkan dalam penganjuran akan datang bagi memperluas promosi makanan tradisional Sarawak di peringkat lebih tinggi.- EDISI UKAS