Showcase Usahawan Sarawak Perluas Pasaran Ke Semenanjung, Bakal Berlangsung Di Kuantan
KUCHING: Usaha memperluas jaringan pasaran usahawan Sarawak ke Semenanjung Malaysia terus diperkukuh menerusi penganjuran Showcase Usahawan Sarawak (SUS) yang akan berlangsung di Kuantan City Mall bermula 29 April hingga 3 Mei ini.
Program anjuran Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan swasta itu menjadi platform strategik dalam mengetengahkan produk usahawan tempatan ke pasaran lebih luas.
Sepanjang lima hari penganjuran, pelbagai pengisian menarik disusun termasuk jualan dan pameran produk usahawan Sarawak, jualan makanan dan minuman, serta demonstrasi produk oleh para usahawan bagi memberi pendedahan secara langsung kepada pengunjung.
Selain itu, program ini turut menampilkan aktiviti interaktif seperti pertandingan nyanyian dan mewarna, di samping sesi padanan perniagaan serta pembentangan idea (business pitching) yang membuka peluang kepada usahawan untuk mengembangkan rangkaian perniagaan mereka.
Bagi menambah kemeriahan, persembahan artis tempatan dari Sarawak dan Semenanjung Malaysia juga akan diadakan sepanjang program berlangsung, sekali gus menarik kehadiran pengunjung dari pelbagai lapisan masyarakat.
Pengunjung yang hadir turut berpeluang memenangi hadiah menarik menerusi cabutan bertuah yang diadakan sepanjang tempoh penganjuran.
Penganjuran SUS ini dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi usahawan Sarawak selain mengukuhkan hubungan perdagangan antara Sarawak dan Semenanjung Malaysia melalui platform promosi yang lebih inklusif dan berimpak tinggi.
Orang ramai khususnya warga Pahang dipelawa hadir bagi memeriahkan program tersebut serta menyokong produk tempatan Sarawak yang berkualiti.-EDISI UKAS