Situasi Kebakaran di Miri Terkawal, Kerjasama Agensi dan Rakyat Terus Diperkukuh
MIRI: Situasi kebakaran di Bahagian Miri kekal terkawal meskipun berdepan cuaca panas berpanjangan, hasil kerjasama erat antara agensi kerajaan dan masyarakat setempat.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, keadaan semasa masih stabil walaupun peningkatan suhu menyebabkan kejadian kebakaran belukar, jerebu serta memberi kesan kepada bekalan air di beberapa kawasan.
Menurut beliau, sebanyak 60 panggilan berkaitan kebakaran direkodkan sepanjang April berdasarkan laporan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri.
“Jumlah ini menunjukkan tahap keprihatinan masyarakat yang tinggi apabila segera melaporkan kejadian kebakaran kepada pihak berkuasa.
“Kerjasama orang ramai amat baik dan perlu diteruskan dengan segera menghubungi talian kecemasan seperti 999 sekiranya berlaku kebakaran,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat JPBB Miri berkaitan musim kemarau, cuaca panas dan bencana kebakaran tanah gambut di Bilik Mesyuarat Jabatan Perbendaharaan Negeri pada Khamis.
Hadir sama Residen Bahagian Miri merangkap Pengerusi JPBB Miri, Galong Luang.
Terdahulu, Dato Sri Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin menerima taklimat daripada agensi berkaitan mengenai situasi semasa melibatkan jerebu, kebakaran, bekalan air dan kesihatan.
Dari sudut pemantauan alam sekitar, Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) melaporkan sebanyak 23 titik panas dikesan dengan tujuh kes masih dalam siasatan.
Sementara itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) memaklumkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Miri berada pada tahap baik dan terkawal antara 50 hingga 70, dengan purata sekitar 80 sepanjang April.
“Sekiranya musim kemarau berpanjangan, kita akan mempertimbangkan langkah pembenihan awan,” katanya.
Mengulas bekalan air, beliau memaklumkan situasi di bandar Miri adalah mencukupi, namun terdapat gangguan kecil di kawasan luar bandar seperti Long Bedian dan Poyut yang sedang ditangani.
Dalam pada itu, pemantauan berterusan dilaksanakan melalui rondaan darat dan penggunaan dron bagi mengesan aktiviti pembakaran terbuka, manakala Majlis Bandaraya Miri turut diminta memperkemas pengurusan sisa pepejal bagi mengurangkan risiko kebakaran.
Dato Sri Lee turut memaklumkan bahawa pihak bomba berdepan kekangan anggota susulan kejadian kebakaran serentak di beberapa lokasi.
Sehubungan itu, usaha menambah kekuatan anggota sedang dipertimbangkan termasuk mendapatkan bantuan daripada Angkatan Tentera Malaysia, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan RELA serta penglibatan sukarelawan sektor korporat.
“Residen Bahagian Miri akan mengadakan mesyuarat khas bagi menubuhkan pasukan tambahan untuk memperkukuh operasi memadam kebakaran,” ujarnya.
Beliau menambah, pelan kontingensi yang lebih menyeluruh turut dirangka termasuk kesiapsiagaan penggunaan helikopter bagi operasi di kawasan pedalaman.- EDISI UKAS