Bantuan Pantas Pastikan Kebajikan Terpelihara, Akses Long Lellang Dipulihkan Segera
MULU: Tindakan pantas dan penyelarasan bersepadu kerajaan berjaya memastikan kebajikan 165 keluarga melibatkan 482 penduduk di Long Lellang terus terjamin susulan kerosakan dua jambatan utama di kawasan berkenaan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala berkata, sejurus menerima makluman, pelbagai langkah segera telah diaktifkan bagi memastikan penduduk tidak terputus bekalan serta akses asas.
Menurut beliau, antara kawasan terlibat ialah Kampung Long Lellang A dan B, Ba Keramue, Long Kepang, Long Sabai, Long Main, selain Sekolah Kebangsaan (SK) Long Lellang dan Klinik Kesihatan Long Lellang.
“Kerajaan bertindak segera dengan menyelaras bantuan kecemasan termasuk penghantaran bekalan makanan dan keperluan asas kepada penduduk terjejas,” katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.
Tambah beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melalui Pejabat Daerah Miri telah menggerakkan bantuan segera, manakala pasukan Bomba dari Pengkalan Udara Wilayah Sarawak melaksanakan operasi penghantaran bekalan menggunakan empat penerbangan dalam tempoh dua hari.
Operasi tersebut berjaya menghantar kira-kira 8,700 kilogram bekalan bantuan ke kawasan terjejas, sekali gus memastikan keperluan asas penduduk terus mencukupi.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Gerawat memaklumkan bahawa Jabatan Kerja Raya (JKR) turut mengambil tindakan pantas melaksanakan kerja pembaikan sementara, sekali gus memulihkan semula laluan untuk kegunaan kenderaan ringan.
“Hasil kerjasama semua pihak, akses perhubungan telah berjaya dipulihkan dalam tempoh singkat bagi kegunaan harian penduduk,” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa cadangan menaik taraf jalan Long Lellang termasuk dua jambatan tersebut di bawah Highland Development Agency (HDA) kini berada di peringkat penilaian tender.
“Projek ini dijangka dianugerahkan dalam masa terdekat dan kerja pembinaan dijangka bermula awal Jun tahun ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada semua agensi terlibat termasuk Pejabat Daerah Miri, JKM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, JKR serta sukarelawan tempatan yang memainkan peranan penting dalam memastikan bantuan sampai kepada penduduk.
Datuk Gerawat menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk terus memantau keadaan semasa serta memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan. –EDISI UKAS