Pejuang Kemerdekaan Sarawak Dato Sri Bo’ Tajang Pergi Selamanya Pada Usia 100 Tahun
KUCHING: Sarawak kehilangan sebutir permata sejarah apabila pejuang kemerdekaan dan tokoh pembangunan luar bandar, Dato Sri Bo’ Tajang Laing, menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun.
Mendiang yang juga mantan menteri Sarawak serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga dilaporkan meninggal dunia pada malam Khamis di Pusat Jantung, Kuching.
Berita pemergian tokoh berpengaruh itu dikongsikan oleh anaknya, Lohong Tajang menerusi laman sosial Facebook, sekali gus mengundang rasa hiba dalam kalangan masyarakat.
Sepanjang hayatnya, Dato Sri Bo’ Tajang dikenang sebagai antara perintis kepimpinan masyarakat Orang Ulu yang bukan sahaja bersuara untuk rakyat pedalaman, malah berjuang memastikan mereka tidak ketinggalan arus pembangunan.
Beliau memperjuangkan akses pendidikan sebagai asas perubahan hidup, membuka jalan kepada generasi luar bandar untuk keluar daripada kitaran kemiskinan dan membina masa depan lebih cerah.
Peranannya dalam pentadbiran negeri turut terserlah apabila beliau menyandang jawatan sebagai menteri kabinet Sarawak dari tahun 1963 hingga 1970, satu tempoh penting yang menyaksikan pembentukan Malaysia dan hala tuju awal pembangunan negeri.
Dilahirkan pada tahun 1926, mendiang bukan sekadar saksi sejarah, tetapi turut menjadi antara individu yang membentuk perjalanan tersebut, memastikan kepentingan Sarawak terus dipelihara dalam landskap baharu negara.
Pemergian beliau disifatkan sebagai kehilangan besar kepada negeri ini, khususnya kepada rakyat luar bandar yang pernah merasai sentuhan dasar dan perjuangan beliau.
Jasanya dalam memperjuangkan pendidikan, pembangunan serta kesejahteraan rakyat akan terus terpahat dalam lipatan sejarah, manakala prinsip perpaduan yang dibawanya kekal menjadi panduan kepada generasi masa depan.
Dato Sri Bo’ Tajang bukan sekadar seorang pemimpin, beliau adalah suara pedalaman, jambatan harapan dan lambang keteguhan perjuangan rakyat Sarawak. -EDISI UKAS