KUCHING: Pendedahan awal daripada Jabatan Hutan Sarawak yang menerima kunjungan 45 kanak-kanak dari Tadika Bahagia ke ‘Industrial Forest Research Centre’ (IFRC) Semengoh sempena sambutan Hari Bumi 2026 melahirkan generasi muda yang mencintai alam sekitar.
Program berbentuk pembelajaran berasaskan permainan itu melibatkan kanak-kanak berusia antara empat hingga enam tahun, yang turut diiringi 14 guru, bagi memberi pendedahan awal mengenai kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar dalam suasana interaktif dan menyeronokkan.
Menurut satu kenyataan media pada Khamis, aktiviti dimulakan dengan demonstrasi teknik penanaman anak pokok yang betul oleh pasukan IFRC yang diketuai oleh Dr Pang Shek Ling.
Para peserta kemudiannya berpeluang menanam sendiri anak pokok ke dalam polibeg, sekali gus mencetuskan keterujaan dan rasa ingin tahu melalui pengalaman pembelajaran secara praktikal.
Menariknya, setiap kanak-kanak turut diberi peluang menamakan anak pokok yang ditanam, sekali gus mewujudkan elemen sentuhan peribadi yang mampu mengukuhkan hubungan emosi mereka dengan alam semula jadi.
Selain itu, peserta turut menyertai aktiviti capan daun yang menggalakkan kreativiti menggunakan bahan semula jadi, di samping meningkatkan penghargaan terhadap keindahan alam melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman.
Jabatan Hutan Sarawak merakamkan penghargaan kepada Tadika Bahagia atas kunjungan tersebut dan berharap inisiatif seumpama ini dapat diteruskan dalam usaha melahirkan generasi yang lebih peka serta bertanggungjawab terhadap penjagaan alam sekitar. -EDISI UKAS