Kongsi Raya Bahagian Miri Meriah, Perkukuh Perpaduan Antara Agensi Kerajaan
MIRI: Semangat perpaduan dan kerjasama antara agensi kerajaan terus diperkukuh menerusi penganjuran Majlis Ramah Tamah Kongsi Raya Bahagian Miri yang berlangsung meriah di Ruang Legar, Kompleks Islam Sarawak pada Khamis.
Majlis berkenaan menyaksikan penyertaan 21 jabatan dan institusi kerajaan di Bahagian Miri yang mengambil bahagian dengan membuka gerai masing-masing, menawarkan pelbagai juadah tradisional dan moden kepada para tetamu.
Hadir memeriahkan majlis ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki bersama isteri, Datin Amar Baduyah Bujang.
Dalam ucapannya, beliau memuji penganjuran program tersebut yang bukan sahaja meraikan kepelbagaian budaya, malah menjadi platform terbaik untuk penjawat awam daripada pelbagai agensi berinteraksi dalam suasana santai.
Menurut beliau, majlis seperti ini mencerminkan keharmonian sosial yang menjadi asas penting kepada kestabilan dan kemajuan negeri Sarawak.
Sepanjang majlis, beliau turut meluangkan masa mengunjungi setiap gerai jabatan bagi beramah mesra dengan warga kerja selain menikmati hidangan yang disediakan.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Felicia Tan, Timbalan Setiausaha Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee, Residen Bahagian Miri Galong Luang, ketua-ketua jabatan serta ketua kaum dan masyarakat setempat.
Suasana majlis turut diserikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan termasuk tarian ngajat, paluan gendang serta hiasan gerai kreatif yang menampilkan tema perayaan.- EDISI UKAS