Rumah Uzur Penerima PBR di Limpasong Akan Dibaiki Segera
LIMBANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang meninjau keadaan sebuah rumah di Kampung Limpasong yang didiami penerima Program Bantuan Rumah (PBR) 2011 selepas dilaporkan mengalami kerosakan serius.
Lawatan pada Khamis itu bertujuan melihat sendiri tahap kerosakan kediaman berkenaan yang kini berada dalam keadaan uzur dan berisiko dari aspek keselamatan penghuni.
Menurut beliau, struktur rumah tersebut didapati tidak lagi kukuh, khususnya pada bahagian lantai yang rosak serta rangka rumah yang semakin lemah.
Rumah berkenaan didiami oleh Lagus Rejap yang tinggal bersama anak lelakinya yang merupakan orang kurang upaya (OKU), dan kedua-duanya merupakan penerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Limbang.
Dalam lawatan itu, beliau turut diiringi Ketua Kampung Limpasong, Emboi Siok yang memberikan maklumat lanjut berkaitan keadaan rumah serta latar belakang penerima.
Sehubungan itu, beliau meminta pihak Ketua Kampung untuk membuat penilaian terperinci terhadap tahap kerosakan dan keperluan pembaikan, termasuk aspek struktur utama yang memerlukan perhatian segera.
Menurutnya, hasil penilaian tersebut akan digunakan bagi mengemukakan cadangan tindakan lanjut, termasuk mempertimbangkan bantuan di bawah Program Penambahbaikan Rumah Rakyat Miskin Sarawak (PPRMS).
Beliau menegaskan, usaha tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa diberi perhatian, khususnya dalam menyediakan kediaman yang selamat dan selesa kepada golongan memerlukan.- EDISI UKAS