Sarawak Perkukuh Tadbir Urus Pengambilan Pekerja Luar
KUCHING: Sarawak terus memperkukuh tadbir urus tenaga kerja menerusi penganjuran ‘Industry Update and Dialogue on Regulatory Requirements and Procedures for the Recruitment of Non-Sarawakian Workers in Sarawak’ yang menghimpunkan lebih 150 wakil industri dari seluruh negeri di Dewan Seminar PUSAKA, Wisma Sumber Alam, pada Khamis.
Program anjuran bersama Unit Pengurusan Imigresen dan Buruh (ILMU), Jabatan Premier Sarawak dan ‘Sarawak Timber Industry Development Corporation’ (STIDC) itu menjadi platform penting bagi mempererat kerjasama antara kerajaan dan pemain industri dalam memastikan pengurusan pengambilan pekerja bukan rakyat Sarawak dilaksanakan secara lebih telus, cekap dan berintegriti.
Pengurus Besar STIDC, Datu Zainal Abidin Abdullah dalam satu kenyataan media menyifatkan sesi tersebut sebagai amat signifikan dalam merapatkan jurang antara dasar kerajaan dan pelaksanaan di peringkat industri.
Menurut beliau, keperluan terhadap pekerja bukan warga Sarawak masih relevan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negeri, namun ia mesti disertai dengan amalan pengurusan yang bertanggungjawab, pematuhan terhadap peraturan, kebajikan pekerja serta proses yang telus.
Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama berterusan antara kerajaan dan pihak industri amat penting bagi memperkukuh tadbir urus tenaga kerja, meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta menyokong pertumbuhan ekonomi Sarawak secara mampan.
Sementara itu, Timbalan Pengurus Besar STIDC, Haluyah Awi, menegaskan bahawa pekerja bukan warga Sarawak memainkan peranan penting dalam menyokong sektor utama seperti pembuatan, perkhidmatan dan industri perkayuan, namun proses pengambilan mereka perlu mematuhi sepenuhnya peraturan buruh dan imigresen yang ditetapkan.
Beliau berkata, sesi dialog berkenaan bukan sahaja membantu pihak industri memahami prosedur semasa, malah meningkatkan kesedaran terhadap keperluan pematuhan demi memastikan pertumbuhan ekonomi negeri kekal mampan.
“Pertumbuhan ekonomi yang kukuh perlu disokong oleh prinsip keadilan, akauntabiliti dan kelestarian agar manfaat pembangunan dapat dinikmati secara menyeluruh,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Tugas-Tugas Khas di Jabatan Premier Sarawak, Datu Ken Leben, dalam ucapan perasmian menekankan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh sistem pengurusan buruh dan imigresen, khususnya susulan penguatkuasaan pindaan Ordinan Buruh Sarawak (Bab 76).
Beliau turut memaklumkan bahawa negeri ini sedang giat melaksanakan transformasi digital melalui ‘Foreign Workers Transformation Approach’ (FWTA), yang bertujuan memodenkan proses pengambilan pekerja melalui sistem digital yang lebih cekap dan telus.
Sejak diperkenalkan pada Januari 2025, lebih 10,000 syarikat telah berdaftar menggunakan platform seperti JobSarawak, SANSOLS dan EXPRT bagi memudah serta mempercepatkan proses pengambilan pekerja.
“Inisiatif ini bukan sekadar peralihan daripada sistem manual kepada digital, tetapi satu langkah strategik untuk meningkatkan ketelusan, kecekapan serta membina keyakinan melalui proses yang lebih jelas dan bertanggungjawab,” katanya.
Sepanjang program berlangsung, para peserta didedahkan dengan pelbagai pembentangan berkaitan undang-undang buruh, prosedur imigresen, tadbir urus, integriti serta penggunaan sistem digital, selain sesi dialog terbuka yang memberi ruang kepada wakil industri mengemukakan isu, mendapatkan penjelasan dan berkongsi maklum balas. -EDISI UKAS