Program Sarawakku Sayang Miri 2026 Buka Tirai, Padat Aktiviti Tarik Kehadiran Rakyat
MIRI: Program Sarawakku Sayang Bahagian Miri 2026 membuka tirai bermula 24 hingga 26 April ini di Stadium Miri dengan pelbagai pengisian menarik yang menghimpunkan rakyat dalam suasana penuh kemeriahan.
Majlis pra pelancaran program telah disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki pada Jumaat.
Terdahulu, beliau berkesempatan meninjau reruai pempamer melibatkan pelbagai agensi dan jabatan kerajaan, sebelum melawat tapak Miri Kitchen yang menampilkan usahawan tempatan dengan aneka juadah serta produk makanan.
Dalam suasana santai, beliau bersama isteri, Dato Baduyah Bujang turut mencuba sendiri menyediakan hidangan tradisional seperti ikan baung masak kunyit, serabai dan cucur bubuk.
Hari pertama program diisi dengan pembukaan Miri Kitchen & Sales, manakala pameran utama, kaunter perkhidmatan serta e-peraduan berlangsung di Khemah Sarawak Pavilion & Servis.
Sebelah petang pula dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti interaktif termasuk mini games, pertandingan mewarna, kuiz makanan Sarawak serta Sukaneka Rakyat yang melibatkan penyertaan komuniti setempat.
Menjelang malam, pengunjung bakal disajikan dengan Malam Budaya Sarawak yang menampilkan artis tempatan serta persembahan kebudayaan yang mencerminkan kepelbagaian warisan negeri ini.
Kemuncak program ialah Majlis Pelancaran Program Sarawakku Sayang Bahagian Miri yang akan disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pengurusan) Datu Felicia Tan Ya Hua, Residen Miri Galong Luang serta Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Awang Putrayusrie Awang Redzuan serta Ketua-ketua Jabatan lain.-EDISI UKAS