Keselamatan Pesakit, Standard Tinggi Jadi Keutamaan Dalam Pembedahan Plastik
KUCHING: Keselamatan pesakit dan pematuhan kepada standard tinggi perlu menjadi keutamaan dalam setiap prosedur pembedahan plastik, selaras dengan perkembangan pesat bidang tersebut ketika ini.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian berkata, bidang tersebut memerlukan latihan intensif serta pematuhan ketat terhadap piawaian ditetapkan.
“Latihan untuk menjadi pakar bedah plastik mengambil masa bertahun-tahun. Tidak ada jalan pintas dalam bidang ini kerana ia melibatkan keselamatan dan nyawa pesakit,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa majlis perasmian Sarawak Plastic Surgical Update 2026 di Muzium Budaya Borneo, di sini, pada Jumaat.
Dalam pada itu, Datuk Amar Profesor Dr. Sim berkata, masyarakat perlu memahami bahawa pembedahan plastik bukan sekadar tertumpu kepada aspek estetik, sebaliknya turut merangkumi pembedahan rekonstruktif yang memainkan peranan penting dalam memulihkan fungsi pesakit akibat trauma, kanser serta kecacatan kongenital.
Katanya, di Hospital Umum Sarawak (HUS) sahaja, lebih 1,000 kes pembedahan rekonstruktif dilaksanakan setiap tahun, sekali gus menunjukkan kepentingan bidang tersebut dalam sistem kesihatan negeri.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kepentingan pematuhan terhadap tiga elemen utama iaitu prosedur, pengamal dan premis sebagai asas dalam memastikan setiap rawatan yang diberikan adalah selamat serta berkualiti.
Jelasnya, prosedur perlu dilakukan oleh pengamal bertauliah yang berdaftar serta mempunyai latihan mencukupi, selain dilaksanakan di premis yang memenuhi piawaian keselamatan dan dilengkapi kemudahan bagi menangani sebarang kecemasan.
Beliau turut mengingatkan agar pemain industri tidak hanya mengejar keuntungan semata-mata sehingga menjejaskan reputasi negara dalam bidang perubatan.
Menurutnya, Malaysia mempunyai standard perubatan yang tinggi dan diiktiraf di peringkat antarabangsa, justeru reputasi itu perlu dijaga dengan penuh tanggungjawab.
Turut hadir semasa majlis ini ialah Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak Dr. Azlee Ayub, Pengarah HUS Dr. Ngian Hie Ung, Ketua Perkhidmatan Pembedahan Plastik dan Rekonstruktif Kebangsaan Dr. Mohammad Ali Mat Zain, Ketua Negeri merangkap Ketua Jabatan Pembedahan Plastik dan Rekonstruktif HUS Dr. Daphne Dewi serta Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Business Events Sarawak Jason Tan Chin Foo.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Ibanez Jeffery Guang