Kongsi Raya Ceriakan Anak-Anak, Perkukuh Perpaduan Komuniti di Sri Aman
SRI AMAN: Sambutan Rumah Terbuka Kongsi Raya Aidilfitri 2026 di Rumah Kanak-Kanak Datuk Ajibah Abol bukan sekadar meraikan perayaan, malah menjadi medium penting memperkukuh perpaduan masyarakat serta menceriakan kehidupan anak-anak yang memerlukan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis berkata, penganjuran majlis seumpama itu memberi impak besar khususnya kepada kanak-kanak di bawah jagaan institusi kebajikan, selain menyemai nilai kasih sayang dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat.
Menurut beliau, Rumah Kanak-Kanak Datuk Ajibah Abol Sri Aman memainkan peranan penting dalam menyediakan perlindungan dan penjagaan kepada kanak-kanak selaras dengan Akta Kanak-Kanak 2001, bagi memastikan mereka membesar dalam persekitaran yang selamat dan kondusif.
“Ketika ini, seramai 29 orang kanak-kanak ditempatkan di institusi ini, dan majlis seperti ini amat bermakna dalam membawa kegembiraan serta mencipta kenangan manis buat mereka,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut, di sini, Khamis.
ADUN Simanggang itu turut menegaskan bahawa kehadiran pelbagai pihak termasuk Ahli Lembaga Pelawat dan ketua jabatan mencerminkan komitmen bersama dalam menjaga kebajikan golongan memerlukan.
“Kehadiran semua pihak membuktikan bahawa kerjasama erat antara agensi dan komuniti amat penting dalam memastikan kesejahteraan sosial terus terpelihara,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan Rumah Kanak-Kanak Datuk Ajibah Abol Sri Aman atas komitmen tinggi dalam menganjurkan majlis tersebut dengan jayanya.
Beliau berharap semangat perpaduan, kasih sayang dan kerjasama yang ditonjolkan menerusi majlis itu akan terus diperkukuh demi menjamin keharmonian masyarakat pada masa hadapan.-EDISI UKAS