STATOS Selaras Penyertaan 19 Syarikat Sarawak Di FHA 2026
SINGAPURA: Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Singapura (STATOS) terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh kehadiran produk tempatan di pasaran antarabangsa menerusi penyelarasan Sarawak Pavilion di Food & Hospitality Asia (FHA) 2026 yang berlangsung selama empat hari di Singapore Expo.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Chew Chang Guan berkata, Sarawak Pavilion kali ini menghimpunkan 19 pemain industri, termasuk lima pempamer baharu yang pertama kali menyertai pameran berprestij itu.
“Penyertaan ini mencerminkan minat yang semakin meningkat dalam kalangan usahawan Sarawak untuk menembusi pasaran global.
"Kami (STATOS) juga gembira melihat kehadiran pempamer baharu yang berpotensi meraih pulangan pelaburan yang baik,” katanya ketika ditemubual Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di sini pada Khamis.
Menjelas lanjut, Chew memberitahu, STATOS bertindak sebagai penyelaras utama dalam membantu pengusaha Sarawak menembusi pasaran antarabangsa, termasuk menyediakan platform promosi, jaringan perniagaan serta sokongan logistik sepanjang pameran berlangsung.
Menurutnya, platform seperti FHA memberi peluang kepada mereka untuk berinteraksi dengan pembeli antarabangsa serta membina rangkaian perniagaan.
Namun begitu, beliau mengingatkan bahawa pasaran Singapura yang sangat kompetitif turut menuntut kepekaan tinggi terhadap harga.
“Tidak semua produk sesuai untuk pasaran ini. Justeru, pengusaha perlu memahami segmen pasaran dengan lebih mendalam agar produk yang ditawarkan bukan sahaja berdaya saing, malah memenuhi kehendak pengguna,” ujarnya.
Dalam pada itu, dari segi konsep, Chew menjelaskan bahawa Sarawak Pavilion kali ini menampilkan reka bentuk terbuka yang lebih mesra interaksi, di samping menitikberatkan keperluan pempamer untuk mengadakan perbincangan perniagaan dengan lebih selesa.
Selain itu katanya, elemen visual yang menggunakan warna rasmi Sarawak, iaitu kuning, hitam dan merah, memainkan peranan penting dalam menarik perhatian pengunjung dari jauh, sekali gus meningkatkan kehadiran ke ruang pameran tersebut.
“Berdasarkan maklum balas tahun lalu, pempamer memerlukan lebih ruang untuk perbincangan. Jadi tahun ini kita perkenalkan susun atur yang lebih praktikal dan mesra perniagaan,” ujar beliau.
Pada masa sama, Chew menegaskan bahawa penyertaan secara berterusan dalam pameran seumpamanya penting bagi membina kepercayaan pasaran.
“Keyakinan pembeli tidak terbina melalui satu penyertaan sahaja. Syarikat perlu tampil secara konsisten, berinteraksi dengan pelanggan serta membuktikan kredibiliti produk mereka,” tegasnya.
STATOS optimis bahawa lebih banyak syarikat Sarawak akan menyertai pavilion tersebut pada masa hadapan, khususnya menjelang 2027, bagi memperluaskan lagi capaian produk Bumi Kenyalang ke pasaran global.-EDISI UKAS