STATOS Tekankan Kesiapsiagaan Pempamer Sarawak Ke Pasaran Eksport
SINGAPURA: Penyertaan Sarawak Pavilion dalam Food & Hospitality Asia (FHA) 2026 di Singapore Expo, memberi penekanan terhadap kesiapsiagaan pempamer dalam memenuhi keperluan pasaran eksport yang semakin kompetitif.
Pengurus Kanan Bahagian Perdagangan dan Pelaburan di Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Singapura (STATOS), Tan Teng Cheng berkata, pemilihan pempamer dibuat secara teliti bagi memastikan hanya syarikat yang benar-benar bersedia diketengahkan di platform antarabangsa tersebut.
Menurut beliau, kriteria pemilihan melibatkan beberapa aspek penting termasuk keupayaan produk menembusi pasaran, tahap kualiti serta kesesuaian dengan kehendak pembeli antarabangsa.
“Kita mahu pastikan pempamer yang dibawa bukan sahaja mampu menarik perhatian, tetapi juga berupaya memenuhi keperluan pasaran dan bersaing di peringkat global,” katanya kepada Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di sini pada Jumaat.
Dalam masa sama, Tan menjelaskan bahawa syarikat yang belum mencapai tahap kesiapsiagaan tidak diketepikan, sebaliknya diberikan panduan untuk memperkukuh aspek tertentu sebelum menyertai pasaran eksport.
“Pendekatan ini penting dalam memastikan penyertaan Sarawak di platform seperti FHA memberi impak yang lebih berkesan, bukan sekadar dari segi pendedahan, tetapi juga potensi perniagaan,” ujarnya lagi.
Menjelas lanjut, Tan memberitahu, terdapat minat berterusan daripada pemain industri untuk menyertai Sarawak Pavilion pada masa akan datang, termasuk syarikat yang tidak terlibat dalam edisi tahun ini.
Tambah beliau, pembangunan kapasiti pempamer secara berperingkat adalah kunci bagi memastikan lebih banyak syarikat tempatan mampu menembusi pasaran antarabangsa secara mampan.-EDISI UKAS