Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak Tinjau Projek Pembangunan di Bekenu
MIRI: Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel mengadakan lawatan tapak ke beberapa projek pembangunan yang dicadangkan di kawasan Bekenu bagi meninjau status perancangan serta pelaksanaan infrastruktur setempat.
Antara projek yang dilawati ialah cadangan pembinaan baharu Jalan Rumah Patrick Libau / Rumah Agnes John Abau di Sungai Tangap dan Rumah Bulin, Sungai Saeh, Niah, pembesaran jalan Kampung Kelulit ke Kuala Sibuti serta cadangan pembinaan jalan akses Pekan Batu Niah ke persimpangan Lebuh Raya Pan Borneo.
Lawatan tersebut bertujuan memastikan setiap projek dilaksanakan secara menyeluruh dengan mengambil kira keperluan semasa penduduk luar bandar serta meningkatkan tahap aksesibiliti di kawasan terlibat.
Dalam lawatan itu, agensi pelaksana turut membentangkan perkembangan terkini projek, cabaran di lapangan serta cadangan penyelesaian bagi mempercepatkan pelaksanaannya.
Lawatan kerja berkenaan diakhiri dengan sesi perbincangan yang menumpukan kepada penyelarasan antara agensi serta langkah susulan bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar mengikut jadual yang ditetapkan.
Turut hadir, Wan Jamaludin dari Unit Pemantauan Pelaksanaan Sarawak (SIMU), wakil Unit Perancang Ekonomi Sarawak (EPU), Jabatan Kerja Raya (JKR) Miri, Pejabat Residen, Jabatan Tanah dan Survei, serta Setiausaha Sulit kepada Datuk Rosey Yunus.-EDISI UKAS