Peranan KMKK Diperkasa, Beberapa Projek Diluluskan di Lubok Antu
LUBOK ANTU: Peranan kepimpinan akar umbi terus diperkasa menerusi pelaksanaan beberapa projek pembangunan serta penyaluran peruntukan kepada komuniti setempat di kawasan ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Dr. Malcolm Mussen Lamoh berkata, Ketua Kaum (KMKK) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) memainkan peranan penting sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat.
“KMKK dan JKKK bukan sahaja menyampaikan dasar kerajaan, malah menjadi suara rakyat di peringkat kampung. Justeru, amanah ini perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab,” katanya.
Beliau yang juga ADUN Batang Ai berkata demikian semasa merasmikan Majlis Penutupan Program Bengkel Memperkasakan Tugas dan Peranan KMKK serta JKKK di sini pada Jumaat.
Dalam pada itu, beberapa projek pembangunan turut diumumkan bagi manfaat penduduk setempat, termasuk peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM15,000 kepada JKKK Rumah Tawie.
Selain itu, projek pembinaan baharu jambatan gantung di Nanga Patoh dengan kos RM400,000 telah diluluskan di bawah pelaksanaan Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sri Aman.
Sementara itu, Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi turut mengumumkan peruntukan MRP sebanyak RM10,000 kepada Gerempong Indu Rumah Tawie.
Beliau turut memaklumkan projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) 2027 bernilai RM150,000 akan dilaksanakan bagi meningkatkan kemudahan di kawasan tersebut.
Dalam perkembangan sama, penduduk turut mendapat akses kepada perkhidmatan bergerak melalui Kaunter Perkhidmatan Majlis Daerah Lubok Antu (MDLA), termasuk pendaftaran dan pengemaskinian akaun Sarawak Pass, pembaharuan lesen anjing serta vaksinasi anti-rabies.
Turut hadir ialah Pegawai Tadbir Daerah Lubok Antu, Stanley Nunsang Martin Engkujag.-EDISI UKAS