Hakisan Sungai Benang Kritikal, Projek RM59 Juta Dilaksana Berfasa
KABONG: Isu hakisan tebing di Kampung Sungai Benang yang semakin kritikal memaksa Projek Baik Pulih Koridor Tebingan Seblak dilaksanakan secara berfasa susulan kekangan peruntukan yang tidak mencukupi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata keadaan tersebut memerlukan tindakan segera memandangkan risiko hakisan memberi ancaman langsung kepada keselamatan penduduk dan kawasan sekitar.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi libat urus dan penerangan status projek bersama agensi pelaksana serta konsultan di Pusat Khidmat ADUN Kabong.
Menurut beliau, projek tersebut amat dinantikan penduduk berikutan keadaan tebing yang semakin terhakis dan memerlukan penyelesaian menyeluruh.
Dalam sesi berkenaan, wakil Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak, Sheela Charlene Nadison memaklumkan bahawa skop asal projek hanya melibatkan kawasan sepanjang 400 meter.
Namun, hasil kajian teknikal dan tinjauan lapangan mendapati keperluan sebenar mencecah sekurang-kurangnya satu kilometer dengan anggaran kos keseluruhan sebanyak RM59 juta.
Bagaimanapun, peruntukan yang diluluskan setakat ini adalah RM21 juta yang hanya mampu menampung kerja baik pulih sepanjang 425 meter di kawasan paling kritikal.
Sehubungan itu, pelaksanaan projek dipersetujui untuk diteruskan secara berfasa berdasarkan keutamaan kawasan serta kemampuan peruntukan semasa.
Sebagai langkah mitigasi awal, struktur retreat bund sepanjang 70 hingga 80 meter yang telah siap pada November 2025 akan diperkukuh menggunakan tanah bukit bagi meningkatkan ketahanan terhadap hakisan berterusan.
Dalam masa sama, cadangan intervensi segera oleh wakil komuniti setempat turut dipersetujui bagi mengurangkan risiko sementara menunggu pelaksanaan projek utama.
Projek ini dijangka bermula seawal September 2026 selepas proses tender dan penyediaan dokumen dimuktamadkan.
Situasi ini mencerminkan keperluan mendesak untuk penyelesaian jangka panjang terhadap isu hakisan yang memberi implikasi besar kepada keselamatan dan kesejahteraan penduduk setempat.-EDISI UKAS