KMKK Diseru Lonjak Tadbir Urus Digital, Perkukuh Kepercayaan Rakyat
MIRI: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) diseru melonjakkan tadbir urus digital dalam pentadbiran komuniti bagi memperkukuh kepercayaan rakyat, sekali gus memastikan penyampaian perkhidmatan lebih cekap, telus dan berkesan di peringkat akar umbi.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Dr Penguang Manggil berkata, KMKK memainkan peranan strategik sebagai penghubung utama antara kerajaan dan rakyat, selain menjadi pemudah cara pembangunan serta pemangkin perpaduan komuniti.
Menurut beliau, kecekapan dan integriti dalam pentadbiran KMKK menjadi asas penting dalam memastikan setiap keputusan dibuat secara adil dan inklusif, sekali gus memperkukuh keyakinan rakyat terhadap kepimpinan di peringkat komuniti.
“Dalam era digital ini, saya juga menyeru kesemua KMKK untuk memanfaatkan teknologi dalam urusan pentadbiran dan komunikasi dengan masyarakat. Penggunaan platform digital dapat membantu menyampaikan maklumat dengan lebih cepat dan berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya semasa Majlis Makan Malam Pemimpin Bersama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Bahagian Miri yang disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Pullman Hotel Miri pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak atas kenaikan elaun KMKK sebanyak RM400 sebagai pengiktirafan terhadap peranan besar golongan tersebut dalam pembangunan negeri.
Beliau menegaskan, kekuatan Sarawak terletak pada perpaduan masyarakat pelbagai kaum, dan KMKK memainkan peranan penting dalam memastikan keharmonian serta kestabilan sosial terus terpelihara.
“Sehubungan itu, saya ingin menegaskan bahawa pentadbiran KMKK perlu sentiasa berteraskan prinsip integriti yang tinggi, keadilan dan ketelusan.
“Setiap keputusan dan tindakan hendaklah mengambil kira kepentingan seluruh komuniti tanpa mengira latar belakang kaum, agama, fahaman politik dan hubungan kekeluargaan,” ujarnya lagi.
Majlis tersebut merupakan sebahagian daripada pengisian Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Miri 2026 yang turut menampilkan pelbagai aktiviti kebudayaan dan hiburan rakyat, sekali gus memperkukuh semangat kebersamaan masyarakat.
Hadir sama, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri-Menteri Kabinet Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri Kabinet Sarawak, Timbalan-Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Ketua-Ketua Jabatan serta KMKK Bahagian Miri. –EDISI UKAS