Premier Sarawak Perjelas Isu Tular, Dakwaan 1,000 Pekerja Bangladesh Untuk PETROS Tidak Benar
MIRI: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menafikan dakwaan tular di media sosial kononnya Sarawak memohon seramai 1,000 warga Bangladesh untuk bekerja di PETROS, sambil menegaskan perkara itu tidak pernah dibincangkan.
Beliau menjelaskan, pertemuan bersama Pesuruhjaya Bangladesh sebelum ini bertujuan memperkukuh hubungan dua hala antara Sarawak dan Bangladesh, bukannya melibatkan pengambilan tenaga kerja seperti didakwa.
“Bangladesh berkata mereka boleh juga menyediakan tenaga kerja jika diperlukan.
“Tetapi dalam sosial media, kononnya Sarawak sudah memohon seramai 1,000 warga Bangladesh untuk bekerja dengan PETROS.
“Ini tidak pernah dibincangkan. Ini juga ditularkan surat daripada Jabatan Buruh. Ini tidak berlaku.
“Pihak ini cuba memutarbelitkan fakta. Maklumlah tidak lama lagi ‘beduk berbunyi’,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Makan Malam Pemimpin Bersama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum sempena Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Miri 2026 di sini pada Jumaat.
Sebelum ini, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala turut menafikan kesahihan surat yang tular berkaitan dakwaan tersebut.
Beliau menegaskan surat berkenaan bukan dikeluarkan oleh Jabatan Tenaga Kerja Sarawak (JTK) dan tiada sebarang permohonan dibuat oleh PETROS berhubung pengambilan pekerja dari Bangladesh.
Dalam perkembangan lain, Premier Sarawak memaklumkan pelaksanaan projek Pelabuhan Miri kini telah mencapai kira-kira 70 peratus siap.
Menurutnya, pembangunan pelabuhan yang dirancang sejak empat tahun lalu itu bakal merancakkan pertumbuhan ekonomi serta mengubah landskap pembangunan Miri, termasuk dalam sektor pelancongan.
“Pada masa ini, pelabuhan ini telah siap lebih kurang 70 peratus. Kita menggunakan ilmu Sains untuk membangunkan pelabuhan ini.
“Siapnya pelabuhan ini kelak kita juga dapat mempromosikan Miri dari aspek pelancongan. Kapal persiaran seperti dari Singapura dapat menggunakan laluan ini dan ini akan melonjakkan Miri sebagai destinasi pelancongan,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau sekali lagi menegaskan kepentingan pengurusan sumber ekonomi negeri secara berhemah serta berasaskan nilai tambah bagi menjamin kesejahteraan rakyat.
“Sumber alam yang kaya tidak menjaminkan masa depan sesebuah negara.
“Apa yang berlaku di Afrika, dua buah negara di Afrika yang kaya dengan minyak hingga hari ini rakyatnya miskin kerana pergaduhan etnik dalam negara tersebut. Kita lihatlah Sudan dan Nigeria ada sumber tetapi tidak maju.
“Oleh itu, kita mesti menguruskan sumber dengan baik dan ditambah nilai. Kita majukan ekonomi dan rakyat kita sendiri,” ujarnya.
Turut hadir Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Dr. Penguang Manggil, Timbalan-Timbalan Menteri, Ketua-ketua Jabatan serta tetamu lain. -EDISI UKAS