RTP Kabong Siap Ikut Jadual, Penyampaian Pembangunan Diperkasa
KABONG: Penyiapan beberapa Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) di DUN Kabong memperlihatkan langkah proaktif dalam memperkukuh infrastruktur asas serta merangsang ekonomi komuniti luar bandar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, pelaksanaan projek yang disiapkan mengikut jadual itu membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan keperluan rakyat ditangani secara berkesan.
Menurut beliau, pendekatan turun padang menerusi Program Serah Projek Siap RTP membolehkan pemantauan secara langsung dilakukan bagi memastikan setiap projek benar-benar memberi manfaat kepada penduduk setempat.
Program tersebut melibatkan beberapa lokasi utama termasuk Ulu Roban, Gerigat, Nyabor, Alit, Kabong dan Tanjung Empiong.
Antara projek yang berjaya disiapkan ialah pembinaan baharu pangkalan bot nelayan Sungai Peruntung di Nyabor dengan kos RM250,000 yang dijangka memperkukuh aktiviti ekonomi komuniti nelayan.
Selain itu, naik taraf kemudahan keagamaan dan komuniti turut dilaksanakan melibatkan Masjid Ar-Rahim Kampung Gerigat (RM150,000), Masjid Lama Kampung Alit Kabong (RM100,000), Surau An-Nur Rahman Metang Disa (RM100,000) serta Dewan Terbuka Rumah Nyandang di Ulu Roban (RM100,000).
Turut dinaik taraf ialah Rumah Serbaguna Skim Kelapa Tanjung Empiong dengan kos RM60,000 bagi meningkatkan fungsi kemudahan komuniti setempat.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada agensi pelaksana serta kontraktor yang terlibat atas komitmen menyiapkan projek mengikut jadual yang ditetapkan.
Secara keseluruhannya, penyiapan projek-projek ini mencerminkan usaha berterusan dalam memperkukuh pembangunan luar bandar secara menyeluruh, sekali gus memastikan manfaatnya dapat dinikmati secara langsung oleh masyarakat di kawasan Kabong. -EDISI UKAS