Program Pra Gawai Perkasa Pemeliharaan Warisan Budaya
BINTULU: Penganjuran program sambutan Gawai dilihat memainkan peranan penting dalam memelihara dan memartabatkan warisan budaya masyarakat berbilang kaum di Sarawak.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato Sri Tiong King Sing berkata, usaha tersebut penting dalam memastikan tradisi dan identiti budaya tempatan terus dikekalkan serta diwarisi oleh generasi akan datang.
Menurutnya, sambutan Gawai bukan sahaja menjadi perayaan tradisi masyarakat Dayak, malah mencerminkan kepelbagaian budaya yang menjadi kekuatan perpaduan rakyat di negeri ini.
“Malaysia merupakan negara berbilang kaum yang perlu sentiasa mengekalkan keharmonian dengan saling menghormati budaya dan agama masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pra Gawai Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) @Komuniti N.69 Kemena di Restoran Dinnerworld di sini pada Jumaat.
Dato Sri Tiong menambah, penganjuran program berkenaan juga berperanan sebagai platform untuk mendekatkan generasi muda dengan warisan budaya agar ia terus relevan dalam arus pemodenan.
Katanya, usaha itu selari dengan agenda kerajaan dalam memperkukuh sektor pelancongan budaya, khususnya menjelang Kempen Melawat Malaysia 2026 yang dilanjutkan hingga 2027.
Justeru, beliau menegaskan kepentingan kerjasama semua pihak dalam memastikan warisan budaya dan perpaduan masyarakat terus terpelihara. -EDISI UKAS