Guru Besar Tonggak Kecemerlangan Pendidikan Luar Bandar
BINTULU: Peranan guru besar sebagai peneraju institusi pendidikan terus menjadi faktor utama dalam memastikan kecemerlangan sistem pendidikan khususnya di kawasan luar bandar di Sarawak.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus Dato Sri John Sikie Tayai berkata, tanggungjawab yang digalas bukan sahaja melibatkan aspek pentadbiran, malah kepimpinan dalam membentuk budaya sekolah dan kemenjadian murid.
Menurutnya, pengalaman beliau sebagai guru besar selama 18 tahun memberi kefahaman mendalam terhadap cabaran sebenar yang dihadapi warga pendidik.
“Guru besar bukan sahaja bertindak sebagai pentadbir, malah sebagai pemimpin yang membentuk budaya sekolah, memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan murid serta memastikan kualiti pengajaran dan pembelajaran sentiasa berada pada tahap cemerlang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Sanjungan Budi, Lambaian Kasih, Aluan Harapan anjuran Persatuan Guru Besar Malaysia (PGBM) Cawangan Daerah Tatau/Sebauh di Restoran Peace Garden di sini pada Jumaat.
Tambahnya, cabaran pendidikan di kawasan luar bandar seperti kekangan infrastruktur, akses kepada teknologi digital serta faktor geografi memerlukan komitmen tinggi daripada semua pihak.
Namun begitu, beliau menzahirkan penghargaan terhadap dedikasi guru besar yang terus berusaha memastikan tiada murid tercicir daripada arus pendidikan.
Dalam pada itu, Dato Sri John memberitahu, kerajaan Sarawak terus memberi penekanan terhadap transformasi pendidikan termasuk pendigitalan dan penggunaan teknologi masa depan.
Katanya, antara fokus utama termasuk pemerkasaan pendidikan digital dan kecerdasan buatan (AI), pengukuhan literasi digital serta perluasan capaian internet khususnya di kawasan luar bandar.
Sementara itu dalam ucapan aluan, Ahli Parlimen Selangau Edwin Banta berkata, pendidikan merupakan aspek penting yang sentiasa diberi perhatian dalam usaha membangunkan masyarakat.
Menurutnya, terdapat kira-kira 36 buah sekolah di kawasan Parlimen Selangau dan pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi membantu keperluan sekolah termasuk penyediaan komputer serta kemudahan asas.
"Kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan pembangunan pendidikan dapat dilaksanakan secara menyeluruh demi masa depan generasi akan datang," jelas beliau. -EDISI UKAS