Bintulu Car Free Morning Terus Dapat Sambutan, Galak Gaya Hidup Sihat
BINTULU: Program Bintulu Car Free Morning (BCFM) terus mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan masyarakat pelbagai lapisan umur yang berlangsung meriah di Jalan Pantai Tanjung Batu pada pagi Sabtu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu Johnny Pang Leong Ming berkata, program tersebut bukan sekadar aktiviti riadah, malah menjadi platform penting dalam memupuk gaya hidup sihat, memperkukuh hubungan komuniti serta meningkatkan kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar.
Menurut beliau, penganjuran BCFM yang kini memasuki tahun keempat sejak diperkenalkan pada 2023 membuktikan komitmen berterusan semua pihak dalam menjadikan amalan hidup sihat sebagai budaya dalam kalangan masyarakat Bintulu.
“Sebagai sebuah bandar yang sedang pesat membangun, Bintulu kini bergerak ke arah menjadi Hab Industri Rendah Karbon.
"Oleh itu, penglibatan masyarakat dalam program seperti ini amat penting bagi membentuk gaya hidup yang lebih sihat dan mesra alam,” katanya.
Justeru, beliau menyeru orang ramai untuk terus kekal aktif, menjaga kesihatan dan bersama-sama memastikan Bintulu kekal bersih serta hijau demi kesejahteraan generasi akan datang.
Pada masa sama, Johnny Pang turut mengajak orang ramai agar bersama-sama menjaga kebersihan Pantai Tanjung Batu yang merupakan antara lokasi kebanggaan penduduk setempat, termasuk melalui aktiviti sepert plogging yang menggabungkan senaman dan usaha memelihara alam sekitar. -EDISI UKAS