SABERKAS Kuala Rajang Perkukuh Kepimpinan, Generasi Muda Tampil Teraju Baharu
TANJUNG MANIS: SABERKAS Cawangan Kuala Rajang memperkukuh struktur organisasinya dengan memberi penekanan kepada penglibatan generasi muda dalam barisan kepimpinan baharu bagi memastikan kesinambungan pembangunan belia dan komuniti.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh berkata, komitmen serta kesediaan ahli untuk terus berkhidmat menjadi faktor utama dalam memastikan organisasi kekal relevan dan berimpak.
Beliau menyampaikan amanat tersebut semasa Mesyuarat Agung Tri-Tahunan SABERKAS Cawangan Kuala Rajang yang diadakan di Pusat Khidmat Kuala Rajang, pada Sabtu.
Menurut beliau, pelbagai inisiatif yang dilaksanakan sebelum ini telah memberi impak langsung kepada komuniti, merangkumi pembangunan modal insan, kebajikan sosial serta pemerkasaan ekonomi setempat.
Tambah beliau, maklum balas daripada ahli merupakan pemacu penting dalam memastikan agenda pembangunan belia terus diperkasa dan disesuaikan dengan keperluan semasa.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa mesyuarat agung berperanan sebagai platform strategik untuk menilai prestasi, membincangkan isu semasa serta merangka hala tuju organisasi secara lebih tersusun.
Pada sesi pemilihan jawatankuasa bagi penggal 2026 hingga 2029, beliau kekal menerajui SABERKAS Cawangan Kuala Rajang, manakala barisan kepimpinan baharu menyaksikan penyertaan ramai ahli berusia 35 tahun ke bawah.
Langkah tersebut dilihat sebagai pendekatan progresif dalam menyuntik idea baharu, memperkukuh dinamika organisasi serta memastikan kesinambungan kepimpinan yang lebih segar dan berdaya saing.
Beliau turut menggesa semua ahli agar terus memainkan peranan aktif walaupun tidak memegang jawatan, bagi memastikan SABERKAS kekal sebagai platform utama pembangunan belia dan komuniti di Kuala Rajang.-EDISI UKAS