Pendidikan Awal Diperkasa, RM3,000 Disalur Sokong Prasekolah KEMAS Sarikei
MERADONG: Usaha memperkukuh pendidikan awal kanak-kanak terus dipergiat menerusi penyaluran Geran Khas Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM3,000 serta perancangan menaik taraf Tabika KEMAS yang uzur di kawasan Meradong.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, pendidikan prasekolah merupakan asas kritikal dalam membentuk generasi berkualiti dan tidak boleh dipinggirkan dalam agenda pembangunan.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Ramah Mesra dan Jalinan Kasih Unit Prasekolah KEMAS Sarikei Tahun 2026 di Dewan Dayang Bai Bintangor pada Sabtu.
Menurut beliau, pelaburan dalam pendidikan awal memberi impak jangka panjang kepada pembangunan modal insan, selain menjadi penentu kepada kualiti generasi masa depan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan keperluan menaik taraf kemudahan Tabika KEMAS yang uzur melalui permohonan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) DUN Meradong bagi tahun 2027.
Tambah beliau, penglibatan aktif ibu bapa serta komuniti amat penting dalam memastikan keberkesanan program pendidikan awal yang dilaksanakan.
Beliau turut menyeru semua pihak agar terus memberikan sokongan melalui sumbangan, tenaga dan idea bagi memperkukuh pembangunan pendidikan kanak-kanak di peringkat awal.-EDISI UKAS