Sukan Sekolah Wajib Diperkasa, Asas Bentuk Pelajar Sihat & Berdisiplin
SIMANGGANG: Penglibatan pelajar dalam aktiviti sukan di peringkat sekolah perlu dipandang sebagai satu kewajipan dalam usaha melahirkan generasi muda yang sihat, berdisiplin dan berdaya saing.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis menegaskan bahawa penyertaan aktif dalam sukan bukan sahaja membantu mengekalkan tahap Indeks Jisim Badan (BMI) yang ideal, malah menjadi asas penting dalam pembentukan sahsiah pelajar.
“Para pelajar perlu mendisiplinkan diri dengan mengekalkan BMI yang ideal serta mengelakkan masalah obesiti melalui penglibatan dalam kegiatan sukan di sekolah.
“Kesihatan tubuh badan adalah aset utama, khususnya bagi pelajar yang bakal melangkah ke alam pekerjaan bagi memenuhi keperluan majikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penangguhan Merpati Run anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simanggang di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang menekankan kepentingan penyediaan fasiliti asas sukan di sekolah bagi melahirkan atlet berpotensi.
Menurutnya, penglibatan aktif dalam sukan mampu membentuk semangat berpasukan, meningkatkan daya tahan mental serta memupuk disiplin tinggi dalam kalangan pelajar bagi menghadapi cabaran masa depan.
“Pihak sekolah perlu terus menggalakkan penyertaan pelajar dalam sukan sebagai sebahagian daripada budaya pendidikan, sekali gus melahirkan generasi muda yang sihat dan menjadi tonggak pembangunan Sarawak,” ujarnya.
Pada majlis tersebut, beliau turut mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM20,000 kepada PIBG SMK Simanggang bagi menyokong pelaksanaan program sepanjang tahun ini.
Program Merpati Run itu disertai kira-kira 400 peserta melibatkan pelajar dan orang awam dalam pelbagai kategori, sekali gus mencapai objektif penganjuran untuk mengumpul dana bagi pembangunan akademik, fizikal, sahsiah serta kokurikulum murid, di samping memperkukuh kerjasama antara pihak sekolah, ibu bapa dan komuniti setempat.
Turut hadir Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Sri Aman Moslimin Krim, Pengetua SMK Simanggang Jaya Salleh, wakil Yang Dipertua PIBG Abang Rosni Abang Moslini serta Pegawai Perhubungan Sekolah Inspektor Sze Cher Khai. -EDISI UKAS