Miri Melangkah Maju, Jadi Hab Ekonomi Utara Sarawak
MIRI: Transformasi pesat Bandaraya Miri daripada sebuah “Oil Town” kepada hab ekonomi utama wilayah utara Sarawak membuktikan kejayaan perancangan strategik Kerajaan Sarawak yang inklusif serta berwawasan.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, pembangunan yang dicapai bukan sekadar bersifat fizikal, malah merangkumi pengukuhan sektor ekonomi baharu termasuk pelancongan, pendidikan dan perkhidmatan moden.
“Miri bukan lagi sekadar bandar persinggahan, ia telah berkembang menjadi Hab Ekonomi Wilayah Utara Sarawak hasil perancangan teliti yang menggabungkan kekuatan sektor tradisional dengan sektor baharu.
“Miri kini muncul sebagai pemacu penting pembangunan wilayah, selari dengan agenda Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang menekankan pertumbuhan berasaskan inovasi dan data," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Perasmian Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Miri 2026 yang dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Stadium Miri, pada Sabtu.
Tambah beliau, penganjuran program berteraskan konsep ‘Kebersamaan’ dan prinsip ‘No One Left Behind’ mencerminkan komitmen kerajaan dalam mendekati rakyat serta memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara menyeluruh.
“Program ini menjadi bukti nyata kesungguhan pemimpin untuk turun padang dan menyantuni rakyat secara terus, selaras dengan prinsip ‘No One Left Behind’,” tegasnya.
Dalam pada itu, pelbagai projek berimpak tinggi terus dilaksanakan bagi memperkukuh kedudukan Miri sebagai hab ekonomi dan logistik, termasuk projek pendalaman Pelabuhan Miri di Kuala Baram bernilai lebih RM200 juta.
Jelas beliau, projek tersebut berpotensi merancakkan industri maritim, menarik pelaburan asing serta mewujudkan ribuan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat tempatan.
Selain itu, pembangunan rangkaian infrastruktur seperti Lebuhraya Pan Borneo dan projek Sabah Sarawak Link Road (SSLR) menjadi pemangkin integrasi wilayah serta pengurangan kos logistik, sekali gus memperluas akses ekonomi khususnya di kawasan luar bandar.
Beliau turut memaklumkan bahawa perkhidmatan Miri City Free Smart Bus memberi impak positif terhadap mobiliti rakyat, dengan jumlah penumpang melebihi 1.28 juta setakat Mac tahun ini.
Dalam aspek pembangunan masa depan, Lee turut memaklumkan projek bandar pintar Kenyalang Smart City serta kerjasama dengan institusi antarabangsa akan mengangkat Miri sebagai pusat kecemerlangan pendidikan dan penyelidikan di rantau ini.
Tegas beliau, keseluruhan inisiatif tersebut mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memastikan pembangunan yang seimbang dan inklusif, bukan sahaja memajukan wilayah malah menjamin kesejahteraan rakyat.
“Kita tidak hanya membangunkan wilayah, tetapi memastikan kemakmuran itu sampai kepada rakyat supaya mereka turut menikmati hasil pembangunan tersebut,” katanya.-EDISI UKAS