Sastera Berfungsi Sebagai ‘Jantung’ Kepada Roh Masyarakat
MIRI: Sastera disifatkan sebagai “jantung” kepada roh sesebuah masyarakat yang memainkan peranan penting dalam membentuk keseimbangan emosi, intelektual dan nilai peradaban.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian berkata, kesusasteraan bukan sekadar medium penulisan, sebaliknya menjadi nadi yang menghidupkan pemikiran serta menyampaikan nilai kemanusiaan kepada masyarakat.
Ujarnya, sebagaimana jantung memastikan kelangsungan hidup manusia melalui denyutan yang stabil, sastera pula menjadi pemacu kepada kesejahteraan sosial dengan mengekalkan keseimbangan emosi dan intelektual masyarakat.
"Sekiranya bidang perubatan menjaga kesihatan fizikal manusia, maka sastera berperanan memelihara kesihatan rohani serta membina nilai peradaban yang terus berkembang seiring zaman," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Penulis-penulis Cina Sedunia ke-13 yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka, di sini, pada Sabtu.
Datuk Amar Dr Sim menegaskan Sarawak kini sedang melangkah ke arah visi pembangunan menyeluruh merangkumi ekonomi, pendidikan, teknologi dan budaya, di mana sastera memainkan peranan penting sebagai elemen kekuatan 'soft power' yang memberi nilai tambah kepada kemajuan negeri.
Beliau mengaitkan sastera dengan konsep kesejahteraan menyeluruh, di mana pembangunan fizikal seperti perumahan perlu diseimbangkan dengan pembangunan rohani.
“Rumah menyediakan tempat tinggal, tetapi sastera menyediakan ruang untuk jiwa,” ujarnya. -EDISI UKAS
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri merangkap ADUN Pujut Adam Yii Siew Sang serta Presiden Persatuan Penulis-penulis Cina Sedunia Sun De-an. -EDISI UKAS