Inisiatif 'Jejak Akar' Perkukuh Hubungan Komuniti, Warisan Budaya
MIRI: Cadangan pelaksanaan program “Jejak Akar” dilihat mampu menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan komuniti serta memelihara warisan budaya dalam kalangan masyarakat Cina di negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian berkata, inisiatif tersebut boleh dilaksanakan dengan membawa ahli persatuan pulang ke tanah asal di China bagi menelusuri sejarah keluarga serta mengeratkan hubungan kekeluargaan.
"Usaha ini juga boleh diperluaskan untuk merangsang kerjasama dua hala dalam bidang ekonomi, pendidikan dan kebudayaan, termasuk meneroka kemungkinan pelaksanaan program pertukaran pelajar demi melahirkan lebih ramai generasi muda berdaya saing," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke Bangunan Persatuan Chawan Miri, di sini, pada Jumaat.
Sementara itu, Naib Presiden persatuan, David Yeo, memaklumkan bahawa cadangan tersebut akan dibentangkan dalam mesyuarat lembaga Jawatankuasa Induk yang akan datang bagi mendapatkan persetujuan dan sokongan sebelum sebarang perancangan lanjut dilaksanakan.
Beliau turut menyatakan harapan agar inisiatif itu dapat direalisasikan seawal tahun hadapan.
Pada majlis tersebut, Datuk Amar Dr Sim mengumumkan peruntukan sebanyak RM10,000 sebagai dana sokongan kepada aktiviti tahunan persatuan, sekali gus membantu memperkukuh pelaksanaan program serta kegiatan komuniti yang dirancang. -EDISI UKAS