Perpaduan Terus Diperkukuh, Belia Diseru Jadi Pewaris Keharmonian Sarawak
MUKAH: Perpaduan dalam kepelbagaian kaum dan agama terus menjadi kekuatan utama yang menyumbang kepada kestabilan serta keharmonian Sarawak.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol menegaskan, kekuatan tersebut perlu terus dipelihara dan diperkasakan khususnya dalam kalangan belia sebagai generasi pewaris negeri.
Beliau berkata, golongan belia memainkan peranan penting dalam memastikan Sarawak kekal sebagai negeri yang maju, aman dan harmoni.
“Golongan belia hari ini adalah generasi yang akan meneruskan legasi perpaduan ini, sekali gus mencorakkan masa depan Sarawak agar kekal indah dalam kepelbagaian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Hi-Tea sempena Mesyuarat Agung Tritahunan Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Cawangan Balingian dan Tellian bagi sesi 2026-2029 di Hotel Kingwood Mukah, pada Ahad.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop itu turut menekankan perubahan landskap generasi muda masa kini yang lebih terdedah kepada teknologi serta capaian maklumat tanpa sempadan.
Justeru katanya, belia perlu sentiasa bersedia menyesuaikan diri dan bergerak seiring dengan perkembangan semasa yang berlaku dengan pantas.
Dalam pada itu, Datuk Abdullah memuji kepimpinan Kerajaan Sarawak yang proaktif dalam merangka pelbagai agenda pembangunan, khususnya dalam sektor ekonomi.
Menurutnya, negeri ini tidak boleh ketinggalan dan perlu terus melangkah ke hadapan bagi memastikan kemajuan berterusan.
Beliau turut menyeru golongan belia agar mengambil peluang yang tersedia dan memainkan peranan aktif dalam pembangunan negeri.
Dalam majlis sama, beliau turut mengumumkan pemberian geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM10,000 masing-masing kepada SABERKAS Cawangan Balingian dan Tellian.
Terdahulu, ADUN Balingian, Abdul Yakub Arbi dan ADUN Tellian, Royston Valentine, menzahirkan penghargaan kepada ahli SABERKAS kedua-dua cawangan atas komitmen serta sumbangan mereka dalam memperkukuh organisasi belia di kawasan masing-masing.-EDISI UKAS