Natalie Abdullah Ungguli Ratu Ibu Anggun Kaul Mukah 2026
MUKAH: Natalie Abdullah mencuri tumpuan apabila dinobatkan sebagai juara pertandingan Ratu Ibu Anggun sempena Pesta Kaul Mukah 2026 yang berlangsung meriah pada Ahad.
Natalie membawa pulang wang tunai RM1,000, piala, selempang, sejambak bunga tajaan Leah, sebakul buah tajaan MH Fresh Fruits serta set pakaian Melanau tajaan Rozie Khan.
Tempat kedua dimenangi oleh Geroldyien Ginda dengan hadiah wang tunai RM800, diikuti Shafina Norman di tempat ketiga yang membawa pulang RM600.
Sementara itu, kategori Ratu Fotogenik dimenangi oleh Nurul Ain Asyikin Abdullah yang membawa pulang wang tunai RM700 berserta piala, selempang, sejambak bunga dan sebakul buah.
Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian Abdul Yakub Arbi dan ADUN Tellian Royston Valentine.
Pertandingan ini bukan sahaja mengetengahkan keanggunan, malah menyerlahkan keperibadian serta keyakinan wanita, khususnya golongan ibu.
Ia bukan sahaja memeriahkan sambutan Kaul Mukah, malah berperanan sebagai platform mempromosikan keindahan budaya serta memperkukuh identiti wanita Melanau dalam arus kemodenan.-EDISI UKAS