Guru Besar Bintulu Diminta Perkasa Kepimpinan Instruksional Hadapi Cabaran Pendidikan
BINTULU: Guru besar di daerah ini perlu memperkukuh peranan sebagai pemimpin instruksional bagi memastikan kualiti pendidikan kekal relevan dan berdaya saing dalam mendepani cabaran semasa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Ts Johnny Pang Leong Ming berkata, peranan guru besar kini bukan hanya tertumpu kepada pengurusan pentadbiran sekolah, sebaliknya turut merangkumi kepimpinan akademik serta pembangunan sahsiah warga sekolah.
Menurutnya, perubahan pesat dalam sektor pendidikan termasuk transformasi digital, isu beban tugas guru serta jurang pencapaian murid memerlukan pendekatan kepimpinan yang lebih progresif dan berkesan.
“Guru besar adalah nadi kepada kecemerlangan sekolah. Kepimpinan yang kuat akan memberi impak terus kepada prestasi murid dan budaya kerja warga pendidik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Guru Besar Malaysia (PGBM) Cawangan Daerah Bintulu Sarawak Tahun 2026 di sini, pada Isnin.
Johnny Pang turut menekankan kepentingan kerjasama strategik antara pihak sekolah, ibu bapa, komuniti dan agensi berkaitan dalam memperkukuh ekosistem pendidikan setempat.
Katanya, pendekatan kolaboratif itu penting bagi memastikan setiap isu dapat ditangani secara menyeluruh dan berkesan.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri dan wakil rakyat sentiasa komited untuk menyokong pembangunan sektor pendidikan melalui pelbagai bentuk bantuan termasuk sokongan dasar dan inisiatif komuniti.
“Saya mengalu-alukan sebarang cadangan daripada PGBM dan warga pendidikan bagi kita mencari penyelesaian bersama demi masa depan anak-anak kita,” katanya.
Mesyuarat berkenaan turut menyaksikan pertukaran kepimpinan baharu PGBM Cawangan Daerah Bintulu bagi sesi akan datang.-EDISI UKAS