Kejohanan Olahraga SMK Lundu Jadi Medan Lahirkan Atlet Berpotensi Sarawak
LUNDU: Komitmen melahirkan generasi muda holistik terus diperkukuh apabila Kejohanan Olahraga Tahunan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lundu ke-59 dijadikan medan mencungkil bakat sukan di peringkat akar umbi, seiring usaha membina pelajar cemerlang dalam akademik dan sahsiah.
Kejohanan yang berlangsung meriah di Kompleks Sukan Lundu pada Isnin itu telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa penglibatan aktif pelajar dalam aktiviti kokurikulum khususnya sukan olahraga memainkan peranan penting dalam membentuk disiplin, jati diri serta keseimbangan pembangunan pelajar.
“Penglibatan dalam sukan bukan sahaja melahirkan tubuh badan yang sihat, malah membentuk sahsiah, semangat berpasukan dan daya tahan yang tinggi dalam kalangan pelajar,” katanya pada Isnin.
Beliau turut memuji pencapaian cemerlang pelajar SMK Lundu seperti yang dimaklumkan oleh pihak sekolah, sambil menyifatkan kejayaan tersebut sebagai bukti keupayaan pelajar luar bandar untuk bersaing dan menyerlah hingga ke peringkat lebih tinggi.
Sebagai Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), beliau turut menegaskan komitmen berterusan dalam memperkasa pembangunan bakat sukan dari peringkat akar umbi dan berharap kejohanan seumpama ini mampu melahirkan atlet berpotensi yang boleh mewakili Sarawak dan negara pada masa hadapan.
Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan para atlet dan pelajar agar sentiasa menjaga kesihatan, terutama dalam keadaan cuaca panas, dengan memastikan pengambilan air mencukupi bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Kejohanan yang berlangsung dari 27 hingga 30 April ini dijangka menyaksikan persaingan sengit antara rumah-rumah sukan bagi merebut gelaran juara keseluruhan edisi ke-59.
Seramai kira-kira 500 orang hadir memeriahkan kejohanan tersebut yang dianjurkan oleh SMK Lundu.
Turut hadir Pegawai Daerah Lundu, Zulkarnain Ismail, Pengetua SMK Lundu, Mohamad Azizan Madihi, wakil Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Lundu, Dhiya Hafiz Mashor serta Penolong Kanan Kokurikulum SMK Lundu, Nur Fatihah Robina Abdullah.-EDISI UKAS