Infrastruktur Kampung Sebenyis Diperkasa, Kesejahteraan Rakyat Jadi Keutamaan
KUCHING: Keperluan mendesak terhadap infrastruktur asas dan kemudahan awam di Kampung Sebenyis, Siburan terus diberi perhatian apabila suara penduduk disampaikan secara langsung kepada kerajaan melalui kepimpinan akar umbi.
Perkara tersebut dizahirkan dalam kunjungan hormat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Sebenyis ke atas Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan), Datuk Dr Jerip Susil pada Isnin.
Kunjungan yang diketuai Ketua Kaum bersama barisan ahli JKKK itu bukan sekadar mengeratkan hubungan, malah menjadi platform penting untuk membawa isu sebenar rakyat, khususnya berkaitan penambahbaikan kemudahan asas serta usaha memperkukuh sosioekonomi komuniti setempat.
Menurut Datuk Dr Jerip yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, peranan JKKK sebagai jambatan antara kerajaan dan rakyat amat kritikal dalam memastikan setiap keperluan di peringkat akar umbi dapat dikenal pasti dan ditangani secara berkesan.
Beliau turut memberi maklum balas positif terhadap perkara yang dibangkitkan serta menegaskan komitmen berterusan kerajaan dalam menyalurkan bantuan dan melaksanakan projek pembangunan yang memberi impak langsung kepada kesejahteraan rakyat.
“Kita sentiasa terbuka menerima pandangan dan keperluan masyarakat. Kerjasama erat bersama JKKK akan memudahkan perancangan serta pelaksanaan pembangunan yang lebih tersusun dan menyeluruh,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau turut menerima kunjungan hormat daripada wakil syarikat AL Ain EMH Sdn Bhd dalam sesi berasingan, mencerminkan keterbukaan pejabat beliau dalam menjalin kerjasama pelbagai pihak demi memacu pembangunan kawasan.-EDISI UKAS