32 Penerima Nikmati MRP RM505,260 MRP, Perkasa Pembangunan Komuniti Kemena
BINTULU: Seramai 32 penerima di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemena menerima suntikan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM505,260, sekali gus memperkukuh pembangunan komuniti setempat.
Peruntukan tersebut telah disampaikan oleh Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom dalam satu majlis di Pejabat Jabatan Pertanian Bahagian Bintulu, pada Isnin.
Menurut beliau, jumlah tersebut merupakan fasa pertama daripada keseluruhan permohonan berjumlah RM1.9 juta yang akan diagihkan secara berperingkat bagi memastikan lebih banyak komuniti mendapat manfaat.
“Penyaluran ini adalah permulaan kepada usaha berterusan kita membantu rakyat di peringkat akar umbi. Baki peruntukan akan disalurkan dalam fasa seterusnya,” katanya.
Penerima MRP melibatkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) rumah panjang, selain kelab serta persatuan tempatan bagi menyokong pelaksanaan pelbagai aktiviti komuniti.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena berharap agar setiap penerima dapat memanfaatkan dana tersebut secara optimum demi meningkatkan kesejahteraan dan kemajuan kawasan masing-masing.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan rakyat agar sentiasa bersiap siaga menghadapi cabaran ekonomi global termasuk kenaikan harga minyak dan barangan keperluan yang boleh memberi kesan kepada kos sara hidup.
Menurutnya, walaupun kesannya masih terkawal di kawasan luar bandar, penduduk di bandar telah mula merasai tekanan, khususnya melalui kenaikan harga diesel.
Sehubungan itu, orang ramai disaran mengamalkan perbelanjaan berhemah serta membuat persediaan kewangan sebagai langkah menghadapi kemungkinan inflasi.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan Sarawak kini tidak lagi bergantung kepada perkhidmatan feri berasaskan diesel susulan pelaksanaan projek pembinaan jambatan tanpa tol yang memberi manfaat besar kepada rakyat.
Tambah beliau, pembinaan Jambatan Sebauh yang telah siap kini menjadi pemangkin perhubungan lebih lancar, manakala cadangan pembinaan jambatan di Labang turut diusahakan bagi meningkatkan akses jalan raya di kawasan berkenaan.
Turut hadir, Pegawai Pertanian Bahagian Bintulu Jackson Nanta Bernabas Baie serta Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Colin Patan.-EDISI UKAS