Projek jalan Sungai Passin/Matu dahului jadual, siap lebih awal
MATU: Projek pembinaan Jalan Sungai Passin/Matu mencatat kemajuan fizikal sebanyak 76.18 peratus setakat ini, sekali gus meletakkannya di landasan lebih awal daripada jadual asal.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (Pembangunan Infrastruktur), Datuk Ir. Aidel Lariwoo berkata, prestasi semasa projek adalah sangat memberangsangkan dan dijangka siap lebih awal, sekitar Mac tahun hadapan.
“Setakat ini, kemajuan projek amat baik dan berada di hadapan jadual. Ini merupakan pencapaian yang positif,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja meninjau perkembangan projek tersebut pada Isnin.
Menurut beliau, kira-kira lapan kilometer jajaran jalan telah siap dengan kerja lapisan asas (road base), manakala baki pembinaan kini giat dilaksanakan.
Projek sepanjang 17.6 kilometer dengan kos keseluruhan RM77.8 juta itu merupakan antara inisiatif penting dalam memperkukuh jaringan perhubungan luar bandar, khususnya di kawasan Matu dan sekitarnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan pemantauan berterusan akan dilaksanakan bagi memastikan projek berjalan lancar dan siap mengikut tempoh ditetapkan.
“Kita akan terus turun padang memantau perkembangan projek walaupun ia kini berada pada landasan baik,” ujarnya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad berkata, kawasan yang melibatkan tujuh rumah panjang di situ masih bergantung sepenuhnya kepada pengangkutan air.
Menurutnya, pembinaan jalan tersebut bakal memudahkan perhubungan penduduk selain membuka peluang pelaksanaan projek Skim Elektrik Luar Bandar (RES) yang telah diluluskan.
“Apabila jalan ini siap kelak, ia bukan sahaja memudahkan akses penduduk, malah mempercepatkan pelaksanaan pelbagai projek pembangunan lain,” jelasnya.
Beliau bagaimanapun menasihatkan penduduk agar tidak menggunakan jalan berkenaan buat masa ini kerana faktor keselamatan, dan berharap projek tersebut dapat disiapkan sepenuhnya lebih awal daripada jadual demi manfaat rakyat setempat.- EDISI UKAS