Tellian Bypass Capai Kemajuan Memberangsangkan, Dijangka Siap Awal
MUKAH: Pembinaan Jalan Tellian Bypass kini memasuki fasa pelaksanaan yang tersusun dengan kemajuan fizikal mencecah 52.13 peratus setakat ini, sekali gus menunjukkan tahap kesiapsiagaan kerja yang baik dan berada sedikit mendahului jadual asal.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (Pembangunan Infrastruktur), Datuk Ir. Aidel Lariwoo berkata, kelancaran pelaksanaan kerja di tapak termasuk penyelarasan teknikal, logistik serta jadual pembinaan menyumbang kepada prestasi semasa yang sangat baik.
Menurut beliau, susun atur kerja yang sistematik membolehkan setiap fasa pembinaan dilaksanakan mengikut perancangan, sekali gus membuka ruang untuk projek disiapkan lebih awal daripada sasaran asal pada Disember tahun ini.
“Ia menunjukkan tahap kesiapsiagaan tinggi daripada semua pihak terlibat, termasuk kontraktor dan agensi pelaksana,” katanya ketika lawatan kerja meninjau perkembangan projek tersebut pada Isnin.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi memaklumkan projek berkenaan telah diluluskan sejak 2017 dan melalui beberapa fasa penyelarasan sebelum pelaksanaan penuh diteruskan.
Beliau berkata, perkembangan semasa memberi keyakinan bahawa kontraktor mampu menyiapkan projek lebih awal daripada tarikh sasaran, iaitu sebelum 9 Disember 2026.
“Perancangan juga melibatkan integrasi rangkaian jalan termasuk cadangan laluan tambahan yang menghubungkan kawasan kampung ke Coastal Highway melalui Jalan Kelapa Baru,” jelasnya.
Sementara itu, ADUN Tellian, Royston Valentine berkata, kemajuan projek yang konsisten mencerminkan komitmen kerajaan Sarawak dalam memastikan setiap aspek pelaksanaan, termasuk keselamatan dan kecekapan trafik diberi perhatian.
Menurutnya, pembinaan bypass tersebut merupakan langkah strategik dalam mengurangkan kebergantungan kepada jalan kampung yang sebelum ini digunakan oleh kenderaan berat seperti lori industri dan sawit.
“Dengan adanya laluan alternatif ini, aliran trafik dapat diurus dengan lebih baik, sekali gus meningkatkan keselamatan penduduk setempat,” katanya.- EDISI UKAS