Persiapan Venue Sukan SEA 2027 Di Sarawak Capai Kemajuan Memberangsangkan
KUCHING: Persiapan fasiliti sukan di Sarawak bagi penganjuran Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) 2027 menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan dan berada pada landasan tepat mengikut jadual ditetapkan.
Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, hasil lawatan rasmi beliau ke beberapa venue utama mendapati kerja-kerja naik taraf dan pembinaan sedang giat dilaksanakan dengan kemajuan yang baik.
Antara lokasi yang ditinjau ialah Stadium Sarawak, Pusat Akuatik Pandelela Rinong dan Stadium Perpaduan yang merupakan sebahagian daripada kompleks sukan utama negeri ini.
“Secara keseluruhan, progres projek adalah sangat baik dan mematuhi jadual asal. Kita berharap semua kerja dapat disegerakan serta disiapkan mengikut garis masa yang telah ditetapkan,” katanya dalam sidang media semasa lawatan tersebut, pada Selasa.
Beliau turut memaklumkan bahawa Sarawak memainkan peranan penting sebagai tuan rumah bersama apabila bakal menganjurkan majlis pembukaan temasya berkenaan serta venue bagi 17 daripada keseluruhan 38 jenis sukan yang dipertandingkan.
Katanya, Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan kira-kira RM350 juta bagi penganjuran temasya tersebut, selain tambahan sekitar RM280 juta bagi kerja-kerja menaik taraf fasiliti sukan, menjadikan keseluruhan komitmen mencecah RM630 juta.
“Stadium Sarawak dijangka siap dan diserahkan pada Januari 2027, manakala keseluruhan kerja naik taraf fasiliti sukan di negeri ini dijangka siap sepenuhnya sekitar Mei atau Jun 2027,” jelasnya.
Tambah beliau, tempoh kira-kira tiga hingga empat bulan sebelum temasya bermula pada September 2027 akan dimanfaatkan untuk memastikan semua aspek teknikal dan logistik berada pada tahap optimum.
Dr. Mohammed Taufiq turut menzahirkan keyakinan terhadap komitmen Kerajaan Sarawak dalam memastikan penganjuran Sukan SEA 2027 berjalan lancar dan mencapai standard terbaik.
Semasa lawatan tersebut, delegasi turut diberikan taklimat terperinci oleh agensi berkaitan termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Malaysia SEA Games Organising Committee (MASOC) berhubung status semasa projek, spesifikasi teknikal serta kesiapsiagaan venue.
Lawatan rasmi itu mencerminkan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Sarawak dan pihak penganjur dalam memastikan setiap fasiliti sukan memenuhi piawaian antarabangsa serta siap sepenuhnya mengikut jadual ditetapkan.- EDISI UKAS