Kongsi Raya perkukuh sinergi agensi kerajaan di Miri
MIRI: Program Ramah Tamah Aidilfitri berkonsepkan Kongsi Raya terus berperanan sebagai pemangkin strategik dalam memperkukuh sinergi serta kerjasama rentas agensi kerajaan di bahagian ini.
Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Miri, Anthony Aboi berkata, penganjuran yang memasuki tahun keempat sejak 2023 itu bukan sekadar platform sosial, sebaliknya menyokong kecekapan penyampaian perkhidmatan awam melalui jaringan kerja yang lebih kukuh dan tersusun.
Menurut beliau, penglibatan lima jabatan utama iaitu Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Bahagian Miri, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Bahagian Miri, Lembaga Sungai-Sungai Sarawak, Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB), Jabatan Tanah dan Survei serta pengurusan di Wisma Pelita Tunku (WPT) mencerminkan komitmen bersepadu dalam memperkasakan kolaborasi antara agensi.
“Objektif utama kita adalah untuk sama-sama memeriahkan sambutan Aidilfitri, Tahun Baru Cina dan Gawai Dayak melalui konsep kongsi raya, di samping mengeratkan silaturahim dalam kalangan warga jabatan.
“Selain menjalankan tugas harian, program seperti ini memberi ruang untuk kita berinteraksi dalam suasana lebih santai,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut di Ruang Lobi Wisma Pelita Tunku di Miri pada Selasa.
Tambah beliau, penyertaan Pejabat Residen Bahagian Miri dan Pejabat Daerah Miri memperluas lagi jaringan koordinasi, sekali gus merapatkan jurang antara agensi yang beroperasi di lokasi berbeza.
Program tersebut berjaya menghimpunkan lebih 200 penjawat awam, mencerminkan tahap komitmen tinggi dalam memperkukuh ekosistem kerja berpasukan dalam sektor awam.
Dalam usaha memperkasakan penganjuran akan datang, Anthony turut mencadangkan agar aktiviti santai berstruktur seperti boling dan dart diperkenalkan sebagai pendekatan membina pasukan yang lebih dinamik dan berimpak.
Cadangan tersebut akan diteliti secara menyeluruh bagi memastikan ia mampu meningkatkan kesepaduan serta keberkesanan kerjasama antara agensi.
Beliau pada masa sama merakamkan penghargaan kepada semua jabatan dan agensi terlibat atas komitmen tinggi dalam menjayakan program berkenaan.
Turut hadir wakil Pejabat Residen Bahagian Miri, Pejabat Daerah Miri serta wakil agensi dan jabatan berkaitan. — EDISI UKAS