MIRI: Program SPANS Bario Highlands Outreach 2026 memperkukuh usaha kerajaan Sarawak dalam memperluas akses peluang kerjaya dan perkhidmatan awam secara inklusif hingga ke kawasan pedalaman.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Datuk Gerawat Gala berkata, inisiatif yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak (SPANS) itu menjadi pendekatan strategik bagi merapatkan jurang maklumat serta memastikan masyarakat luar bandar tidak tercicir daripada arus pembangunan.
Menurut beliau, program tersebut menyediakan akses terus kepada penduduk setempat untuk mendapatkan maklumat berkaitan peluang kerjaya dalam perkhidmatan awam, selain pendedahan kepada pelbagai inisiatif pembangunan yang disediakan kerajaan.
Beliau menegaskan bahawa pendekatan turun padang ke kawasan pedalaman seperti Bario membolehkan penyampaian maklumat dilaksanakan secara lebih efektif dan menyeluruh.
Dalam masa sama, beliau menekankan bahawa Bario memiliki keunikan tersendiri dari segi keindahan alam semula jadi serta kekayaan budaya, sekali gus menjadi aset penting yang perlu diperkasakan seiring pembangunan modal insan.
Sehubungan itu, beliau menggesa golongan belia agar memanfaatkan sepenuhnya peluang yang tersedia termasuk pengambilan dalam perkhidmatan awam melalui SPANS, biasiswa pendidikan oleh Yayasan Sarawak serta latihan kemahiran di Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS).
Tambahnya, kerajaan menyediakan platform yang komprehensif, namun kejayaan bergantung kepada usaha, disiplin dan kesungguhan individu dalam merebut peluang tersebut.
Beliau turut menegaskan komitmen berterusan kerajaan Sarawak untuk memperluas akses pendidikan, meningkatkan kebolehpasaran pekerjaan serta memperhebat pembangunan luar bandar dan pedalaman termasuk di Bario.
Program tersebut menghimpunkan pelbagai agensi berkaitan bagi memberi pendedahan secara langsung kepada penduduk setempat mengenai peluang kerjaya, pendidikan dan latihan kemahiran.
Hadir sama dalam program itu ialah Pengerusi SPANS, Datu Kameri Affandi.-EDISI UKAS