Sukan SEA 2027 Bukan Sekadar Sukan, Bakal Jadi Festival Rakyat
KUCHING: Penganjuran temasya Sukan SEA 2027 bukan hanya tertumpu kepada acara sukan semata-mata, sebaliknya akan diketengahkan sebagai sebuah festival rakyat yang inklusif dan meriah, kata Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohamed Taufiq Johari.
Beliau berkata, konsep tersebut bertujuan menarik penyertaan lebih luas daripada masyarakat, termasuk mereka yang mungkin tidak mengikuti pertandingan sukan secara langsung.
Menurutnya, hasil perbincangan bersama Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, beberapa lokasi utama seperti Stadium Sarawak akan dihidupkan dengan pelbagai aktiviti sampingan.
“Di Stadium Sarawak itu sendiri akan ada festival, jualan, booth-booth dan pameran supaya orang yang datang tidak hanya tertumpu kepada acara sukan.
“Malah, mungkin ada yang datang sekadar untuk membawa keluarga bersantai dan menikmati suasana, tanpa perlu menonton acara sukan,” katanya dalam sidang media selepas lawatan ke tapak Stadium Sarawak pada Selasa.
Dr. Mohamed Taufiq menambah, pendekatan ini dilihat mampu menjadikan temasya dwitahunan itu lebih inklusif serta berperanan sebagai platform sosial yang menghubungkan komuniti pelbagai lapisan.
Beliau berkata, inisiatif berkenaan juga akan memberi nilai tambah kepada pengalaman pengunjung sekali gus menyemarakkan lagi kemeriahan penganjuran Sukan SEA 2027 di Sarawak.
Lawatan rasmi tersebut turut disertai oleh Dato Sri Abdul Karim, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee, Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dzulkornain Masron, Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia merangkap Chef de Mission Sarawak bagi Sukan SEA 2027 Azizul Annuar Adenan, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia SEA Games Organising Committee (MASOC) Dato’ Abdul Rashid Yaakub, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak Lamat Nyalau dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak merangkap Pemangku Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) Khairul Nizam Morshidi.- EDISI UKAS