Sumbangan RM10,000 Perkukuh Keupayaan APM, BOMBA Tangani Kebakaran Di Matu dan Daro
IGAN: Keupayaan operasi pasukan penyelamat di Matu dan Daro terus diperkasa apabila Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) masing-masing menerima sumbangan RM5,000 dalam Majlis Penyerahan Sumbangan Operasi Kebakaran yang berlangsung di Pejabat Daerah Kecil Igan, pada Selasa.
Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti & Ombudsman), Dato Murshid Diraja Dr Juanda Jaya kepada Ketua Balai BBP Daro PBT II, Hasman Bakar serta Pegawai Pertahanan Awam Daerah Matu, Kapten (PA) Azamsah Apearal.
Menurut beliau, peruntukan keseluruhan RM10,000 itu bertujuan memperkukuh keupayaan operasi kedua-dua agensi yang berdepan cabaran semakin kompleks, khususnya dalam menangani kebakaran berskala besar di kawasan terbuka.
“Keadaan cuaca panas dan kering meningkatkan risiko kebakaran, justeru sokongan berterusan amat penting bagi memastikan pasukan di lapangan sentiasa bersedia dan mampu bertindak dengan pantas serta berkesan,” katanya.
Majlis berkenaan turut menjadi simbol penghargaan terhadap komitmen dan keberanian anggota penyelamat yang sentiasa berada di barisan hadapan dalam melindungi keselamatan komuniti setempat.
Beliau menambah, bantuan tersebut diharap dapat menampung keperluan logistik dan peralatan selain meningkatkan tahap kesiapsiagaan operasi, sekali gus memperkukuh keberkesanan tindakan di lapangan.
Dalam perkembangan sama, APM dan JBPM Matu berjaya mengawal serta memadam kebakaran yang melibatkan kawasan seluas kira-kira 80 hektar, sekali gus mengelakkan api daripada merebak ke kawasan penempatan penduduk dan harta benda awam.
Keberhasilan itu mencerminkan tahap profesionalisme, kecekapan serta kerjasama erat antara kedua-dua agensi dalam mengurus situasi kecemasan dengan berkesan.-EDISI UKAS