KUCHING: Program Brarak Bipajak Gawai BISEGU Edisi Ke-4 dijangka berlangsung lebih meriah tahun ini apabila seramai 24 kontinjen telah mengesahkan penyertaan.
Perkara itu dimaklumkan dalam kunjungan hormat delegasi Persatuan Segu Bunuk Penrissen (BISEGU) ke atas Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Datuk Dr Jerip Susil di pejabat beliau di Bangunan Baitulmakmur 1, di sini, pada Selasa.
Delegasi berkenaan diketuai Pengerusi Persatuan Segu Bunuk Penrissen, Gabriel Micheal Tommy bagi membincangkan persiapan serta atur cara awal penganjuran Brarak dan Bipajak Gawai BISEGU Edisi Ke-4 yang dijadual berlangsung pada 2 Jun 2026 di Kampung Segu Bunuk, Jalan Puncak Borneo.
Datuk Dr Jerip turut menyatakan sokongan padu terhadap penganjuran acara tersebut dan menzahirkan keyakinan bahawa edisi kali ini akan berlangsung dengan lebih meriah dan tersusun.
Beliau juga diperlihatkan dengan logo khas yang direka bagi acara berkenaan sebagai simbol identiti dan kebanggaan komuniti Bisegu.
Selain itu, perbincangan turut menyentuh mengenai penganjuran Bisegu Education Excellence Award yang dijangka berlangsung pada bulan Julai ini.
Anugerah tersebut bertujuan mengiktiraf kecemerlangan pelajar serta mendorong pembangunan pendidikan dalam kalangan generasi muda komuniti Bisegu.
Dalam perkembangan sama, kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai usaha mengenal pasti tapak yang sesuai bagi pembinaan Pusat Kebudayaan Persatuan Segu Bunuk Penrissen (BISEGU).
Inisiatif ini dilihat sebagai langkah strategik dalam memelihara, mempromosi serta memperkasa warisan budaya tempatan untuk generasi akan datang. -EDISI UKAS